Beri SPAN kebebasan laksana tanggungjawab

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023 memberi kebebasan kepada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) melaksanakan tanggungjawabnya.

Dato’ Ahmad Marzuk Shaari (PN-Pengkalan Chepa) berkata, ini membabitkan pelantikan pekerja dan pengurusan akaun bank tanpa perlu mendapat kelulusan menteri terbabit.

- Advertisement -

Sehubungan itu, katanya sudah sampai masa kerajaan memberi kepercayaan yang penuh kepada SPAN untuk menguruskan sendiri hal ehwal air agar selari dengan Pelan Keselamatan Air (WSP).

“Yang saya peliknya usul ini daripada kerajaan dan pindaan ini tetapi sebahagian ahli parlimen yang berucap dari kerajaan tadi seakan tidak menyokong dan mempertikaikan perkara ini.

“Selagi SPAN menjalankan fungsi dan tanggungjawab dengan integriti sudah pasti prestasi perkhidmatan bekalan air negara dapat diperbaiki lagi dari semasa ke semasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai perbahasan RUU Suruhanjaya Perkhidmaan Air Negara (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Ahmad Marzuk berkata, pindaan tersebut diharap dapat mengubah cara kerja SPAN bagi memastikan kemudahan air dapat menghasil pendapatan kepada negara.

Walaupun kemerdekaan negara sudah menjangkau usia lebih 60 tahun, katanya masih terdapat negeri yang mempunyai paip yang tidak mampu menampung tekanan air.

Malah, katanya perkara itu didedahkan sendiri oleh Ketua Eksekutif SPAN, Dato’ Ahmad Faisal Abdul Rahman yang menyatakan masih ada sistem perpaipan negara berada dalam keadaan sangat uzur.

“Kondisi paip uzur menjadi punca paip bocor dan Air Tidak Terhasil (NRW) yang tinggi dan mengakibatkan kerugian yang disebutkan oleh (Ahli Parlimen) Pagoh tadi, hampir RM2 bilion setiap tahun. – HARAKAHDAILY 12/10/2023

- Advertisement -