
KUALA LUMPUR: Seorang peguam menyifatkan kenyataan penganalisis politik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkaitan dirinya sebagai palsu dan fitnah.
Rosli Dahlan berkata, beliau tidak pernah ditahan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) dan tiada wang RM7 bilion atau sebarang wang berkaitan 1MDB yang hilang.
Katanya semua wang pemulihan aset 1MDB dibayar langsung kepada Kementerian Kewangan dan tidak satu sen pun dibayar kepada RDS Partnership.
“Oleh itu adalah mustahil hal itu boleh berlaku. Dr Mazlan Ali boleh mengesahkan sendiri dengan Kementerian Kewangan kerana jelas kenyataannya itu dibuat secara melulu tanpa usul periksa.
“Kenyataan pensyarah terbabit adalah salah di sisi undang-undang fitnah terutama sekali Seksyen 499/500 Kanun Keseksaan.
“Menggunakan kedudukannya sebagai Prof Madya di UTM untuk membuat kenyataan palsu dan fitnah juga membuat UTM bertanggungjawab sama atas kesalahannya itu,” katanya pada kenyatanan.
Sinar Harian baru-baru ini melaporkan PERIKATAN NASIONAL (PN) memerlukan ‘panglima perang’ baharu ekoran isu melibatkan integriti terutama pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Dr Mazlan dilapor berkata, isu terbaharu melibatkan penangkapan peguamnya oleh SPRM yang dikaitkan dengan kehilangan wang 1MDB sebanyak AS$1.5 bilion bersamaan RM7 bilion dari Amerika Syarikat (AS) yang dihantar kepada kerajaan.
Rosli berkata, kenyataan fitnah itu merosakkan nama baiknya sebagai seorang peguam Muslim yang aktif dalam kerja-kerja amal, kebajikan dan dakwah.
“Ia memusnahkan reputasi saya sebagai seorang yang berprinsip dan berintegriti.
“Saya menyeru supaya Dr Mazlan, UTM dan Sinar Harian segera bertaubat, memohon maaf kepada saya dan memadamkan rencana tersebut dan yang sepertinya dengan serta merta,” ujarnya.
Beliau juga menyifatkan mutu profesor tempatan yang sibuk bermain berita palsu bukan kajian ilmiah, maka wajarlah mereka dipanggil profesor kangkung.
Menurutnya juga Sinar Harian perlu bertanggungjawab kerana menerbitkan rencana fitnah tersebut. – HARAKAHDAILY 12/10/2023











