Bekalan air patut jadi penunjuk garis kemiskinan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu mengemukakan persediaan dan tindakan proaktif sebagai jaminan bahawa rakyat tidak lagi berhadapan masalah gangguan bekalan air bersih dan terawat.

Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) berkata, masalah itu bukan sahaja membelenggu penduduk di Kelantan, malah kawasan lain yang dianggap lebih maju seperti Lembah Klang.

- Advertisement -

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan mempunyai pelan jangka panjang bagi memastikan akses bekalan air bersih tidak menjadi isu yang menghantui penduduk dan industri.

“Namun, tumpuan perlu diberikan kepada cara menambah baik kecekapan pengurusan air dan liputan kemudahan bekalan air kepada rakyat tanpa memberikan layanan berbeza antara negeri dan pusat.

“Kedua-dua pihak, Kerajaan Persekutuan dan negeri harus bersikap adil dalam soal penyediaan utiliti asas secara cekap dan berterusan kerana rakyat berhak mendapat bekalan bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyertai perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Perkhidmaan Air (Pindaan) 2023 di Dewan Rakyat, hari ini.

Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) itu berkata dalam konteks hak rakyat untuk mendapat bekalan air bersih, mengesa kerajaan melihat kayu ukur kemiskinan dari pandangan lebih luas.

Menurutnya, RUU Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Pindaan) 2023 merupakan satu langkah yang baik bagi mengurangkan karenah birokrasi antara Kerajaan Persekutan dan negeri.

Beliau berkata sejak sekian lama, negara mengukur kemiskinan dengan garis pendapatan tanpa mengira bekalan air bersih sebagai antara indikator, definisi yang dikeluarkan oleh Bank Dunia.

“Apa guna rakyat mendapat wang semata-mata, tetapi dinafikan hak asasi mereka untuk mendapat bekalan air bersih terawat, sekiranya kerajaan dapat mengoptimumkan data ini, iaitu kayu ukur kemiskinan air ini maka usaha untuk menambah baik akses bekalan air bersih dan terawat akan dapat dilakukan lebih cekap dan teratur,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/10/2023

- Advertisement -