Bekalan beras putih di Perlis dijangka pulih seminggu

Razali Saad bercakap kepada media selepas meninjau syarikat pemborong beras.
- Advertisement -

ARAU: Bekalan beras putih tempatan (BPT) di Perlis dijangka pulih dalam tempoh seminggu selepas mengalami pengurangan bekalan sejak awal September lalu.

- Advertisement -

Pengerusi Jwatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, pihaknya giat menjalankan tinjauan bagi memastikan keberadaan stok BPT di negeri ino.

“Pantauan hari ini mendapati stok beras mencukupi dan sedang dalam proses pembungkusan untuk diedarkan kepada peruncit dalam negeri.

“Kita (kerajaan negeri) termasuk agensi terbabit dalam pemantauan ini berkeyakinan bahawa bekalan beras putih tempatan (BPT) akan pulih dalam tempoh seminggu dan akan berada dalam pasaran,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengetuai Ops Jamin bagi meninjau bekalan beras putih tempatan di dua kilang pemborong beras di sekitar Arau dan Padang Besar hari ini.

Menurut beliau lagi, pihak Kawalselia Padi dan Beras (KPB) kini sedang giat membuat agihan BPT dan tiada had ditetapkan kepada pemborong atau pengilang untuk memproses serta mengedarkan bekalan berkenaan kepada peruncit.

“Bagaimanapun, pengeluaran dan pengedaran beras putih tempatan ini masih perlu mengikut lesen yang dikeluarkan oleh KPB dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN).

“Sebagai contoh, seperti di Sabirah ini, pihaknya mempunyai lesen untuk menyimpan stok beras putih tempatan sebanyak 500 tan metrik, mereka boleh menambah bekalan sekiranya stok berkurangan mengikut had dibenarkan dalam lesen dengan mendapatkannya daripada pengilang di Perlis atau Kedah,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, menurut Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB) negeri, Mohd. Amiruddin Che Hat tiada kartel yang terlibat dalam pengurangan bekalan BPT di negeri ini.

“Pengurangan bekalan sekarang ini disebabkan keadaan cuaca tidak menentu menyebabkan hasil padi berkurang,” katanya. – HARAKAHDAILY 6/10/2023

- Advertisement -