
ARAU: Tiada had pembelian beras tempatan dan import yang ditetapkan kepada peruncit seperti yang digembar gemburkan segelintir pihak tidak bertanggungjawab.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Razali Saad berkata, jika perkara tersebut berlaku, peruncit boleh laporkan terus kepada pihak berwajib.
“Ini tidak betul dan tak sepatutnya berlaku, peruncit boleh pesan beras putih tempatan tanpa perlu beli bersama beras import.
“Jika berlaku perkara begini, terus laporkan kepada pihak berwajib atau terus lapor kepada saya terus pun boleh, kita akan atasi perkara ini dengan baik,” katanya dalam sidang media selepas membuat terjahan di sebuah syarikat pemborong beras, di sini, hari ini.
Ops Jamin itu turut disertai Pengarah Kawalselia Padi dan Beras (KPB) Perlis, Mohd. Amirudin Che Hat dan pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) negeri.
Beliau sebelum itu membuat tinjauan ke atas peruncit-peruncit di sekitar kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Simpang Empat.
“Sebelum datang ke sini, saya meninjau peruncit-peruncit di kawasan saya dahulu. Menurut mereka, beras putih tempatan memang laris sekarang, beras import sangat kurang permintaan berbanding sebelum ini.
“Majoriti masyarakat di sini adalah petani dan mereka kurang kemampuan untuk beli beras import yang mahal sekarang ini,” katanya lagi.
Sebelum ini, segelintir peruncit mengadu ada pihak meletakkan syarat supaya perlu membeli beras import jika mahu membeli beras tempatan.
Untuk rekod, di seluruh negeri Perlis terdapat lima pemborong dan lapan pengilang beras. – HARAKAHDAILY 6/10/2023




















