
MELAKA: Program Sambutan Hari Malaysia anjuran Pusat Khidmat Parlimen Tangga Batu bukan sekadar perayaan tetapi ia juga mempunyai banyak matlamat lain yang ingin dicapai dalam pelaksanaannya.
Menurut Ahli Parlimen Tangga Batu, Bakri Jamaluddin, program itu adalah program bersifat rentas politik dan dapat memberikan manfaat kepada penduduk dalam kawasan ini.
Antaranya, jelas beliau, adalah penyertaan gerai pameran oleh para usahawan tempatan yang terlibat dalam program ‘Digital Ekonomi’ yang sedang diusahakan pihak pusat khidmatnya.
“Hari ini kita ada 10 usahawan yang kita bina melalui program ‘Digital Ekonomi’. Hari ini mungkin kita bertemu dalam 10 ke 12 orang lagi dan kita akan bawa masuk dalam program ini. Bagi saya kita bukan sekadar beramah mesra tapi juga kita membuka peluang ekonomi.
“Dan saya sebagai wakil rakyat dapat bertemu langsung dengan mereka. Dan mereka mempunyai produk dan kita akan bantu mereka untuk masyarakat melalui sistem digital,” ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka berkata demikian kepada Harakahdaily seusai program tersebut yang berlangsung di Taman Tanjung Minyak Perdana, di sini, tengah hari tadi.
Tambah Bakri, sambutan yang diterima dari program itu di luar jangkaan kerana ia hanya diuar-uarkan di media sosial PAS kawasan dan media sosial beliau sahaja tanpa promosi besar-besaran.
Beliau juga memberikan komitmen untuk menjadikan acara itu sebagai acara tahunan yang akan diadakan di lokasi-lokasi berlainan dalam empat DUN yang berada di bawah kawasan parlimen itu.
Katanya, program ini juga mendapat kerjasama baik daripada beberapa agensi kerajaan dan swasta yang turut sama membuka gerai pameran membuktikan program itu tidak bersifat politik.
“Dan kita lihat ada agensi-agensi kerajaan seperti Jabatan Pertahanan Awam, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Pusat Zakat Melaka, mereka turun bertemu dengan rakyat. Ia suatu usaha yang baik sebenarnya untuk kita mendekatkan hubungan antara rakyat dengan agensi-agensi kerajaan,” ujarnya.
Selain itu program ini turut disertai oleh Persatuan Perubatan Islam Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dengan mengadakan program pemeriksaan kesihatan percuma.

Program bermula dengan acara ‘fun run’ iaitu larian melibatkan beberapa kategori dari peringkat kanak-kanak hingga dewasa; pertandingan ‘street soccer’ tiga sebelah; pertandingan mewarna; pakaian beragam patriotik dan cabutan bertuah.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penduduk Taman Tanjung Minyak Perdana, Zulkifli Chong Abdullah bersyukur atas sambutan menggalakan dari penduduk taman itu sendiri.
“Persatuan Penduduk Taman Tanjung Minyak Perdana mengalu-alukan daripada Pejabat Ahli Parlimen Tangga Batu untuk mengadakan program-program tersebut bersama-sama.
“Saya sungguh berbesar hati dan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Ahli Parlimen Tangga Batu yang memilih Taman Tanjung Minyak Perdana menyambut Sambutan Hari Malaysia dan juga fun run ini,” ujar beliau. – HARAKAHDAILY 16/9/2023











