Kompleks stesen bas, kereta sewa bakal dibina di Jerteh

Dr Riduan Mohamad Nor
- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Projek mega termasuk pembinaan kompleks stesen bas dan kereta sewa dianggarkan bernilai RM17 juta bakal dibangunkan di Jerteh.

- Advertisement -

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jerteh, Dr Riduan Mohamad Nor berkata projek berkenaan sekali gus memberikan kemudahan kepada masyarakat di daerah Besut.

“Sebenarnya bangunan sekitar itu sudah banyak dah ada. Tetapi kalau sudah siap terminal bas ini dan kereta sewa, projek ini besar dan boleh memberikan kesenangan kepada masyarakat di Besut terutama di bandar Jerteh.

“Insya-Allah ia akan dilaksanakan pada bulan Januari 2024, sekarang dalam proses melakar pelan dan kerja-kerja awal sedang dilaksanakan,” katanya ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.

Riduan berkata, beberapa kemudahan lain untuk rakyat bandar Jerteh akan turut dilaksanakan seperti projek menaik taraf jalan empat lorong.

 “Projek untuk menaik taraf jalan raya empat lorong daripada nasken kopi hingga ke Seberang Jerteh di mana satu roundabout besar akan dibuat di hadapan Sekolah Jenis Kebangsaan (C) Chung Hwa, Jerteh.

“Ini akan memudahkan laluan trafik terutama pada waktu-waktu padat seperti hari raya, cuti sekolah dan sebagainya,” katanya.

Beliau yang terlibat dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Daerah itu, memaklumkan restoran makanan segera McDonald’s akan dibina di Seberang Jerteh.

“Restoran segera ini juga dapat menarik dan memberi kemudahan kepada pelancong insya-Allah,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, pihaknya juga bakal membawa masuk klinik rangkaian 24 jam di bandar Jerteh untuk kemudahan dan menampung keperluan kesihatan di daerah Besut.

“Kita akan dapatkan bantuan kawan-kawan NGO daripada Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) dan sebagainya untuk bawa klinik ke bandar Jerteh bagi mempelbagai rangkaian klinik 24 jam,” katanya.

Dr Riduan Ketika bercakap dalam Bicara Khas TV Darul Iman sebelum ini berkata, banyak pembangunan pasar raya atau gedung perniagaan milik Muslim yang berpatutan dengan syariat Islam akan diwujudkan di bandar Jerteh.

“Pembangunan tersebut seperti pasaraya Mydin, Sabasun dan sebagainya yang akan dibina di bandar Jerteh.

“Saya berharap segala aktiviti perniagaan akan berjalan dengan baik di bandar ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/9/2023

- Advertisement -