SRITI semakin jadi pilihan ibu bapa

- Advertisement -

PASIR MAS: Produk milik PAS, Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI) terus menjadi pilihan ibu bapa untuk menghantar anak-anak mereka menuntut ilmu sebagai pilihan terhadap institusi pendidikan yang ada sekarang.

- Advertisement -

Sambutan yang begitu menggalakkan menyebabkan SRITI makin berkembang pesat di negara ini termasuk Kelantan.

Adun Pengkalan Pasir Nasriff Daud berkata, SRITI Pasir Mas akan mengambil kemasukan pelajar sesi pertama bermula pada awal sesi persekolahan 2024 yang dijangka bermula seawal Mac tahun hadapan.

Katanya, SRITI Pasir Mas merupakan yang ke-14 di Kelantan, di mana bangunan utama SRITI Pasir Mas akan mula dibina akhir tahun ini.

Oleh itu katanya SRITI akan memanfaatkan bangunan dua tingkat di Madrasah Nasrullah, Pusat Tarbiah Pohon Buloh sebagai lokasi awal pembelajaran.

“Pembinaan bangunan utama SRITI dijangka mengambil masa tidak lama kerana hanya melibatkan pembinaan 12 kelas. Jadi buat sementara kita akan menggunakan dua bilik darjah sedia ada di tingkat dua Madrasah Nasrullah.

“Pejabat dan bilik guru juga akan disediakan di aras yang sama. Begitu juga dewan terbuka, ruangan solat dan kantin,” katanya di sini.

Silibus SRITI menggariskan empat komponen iaitu Kaffah, Tahfiz, Qu’ran dan Sunnah (TQS), Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) dan Diniah menjadi tarikan ibu bapa bagi menjamin kecemerlangan akademik dan sahsiah anak-anak mereka.

Difahamkan sehingga sesi persekolahan tahun 2023 SRITI di seluruh Kelantan mempunyai 2782 pelajar dan 274 guru.

Antara mata pelajaran yang diajar kepada pelajar SRITI Tahun 1 hingga 3 ialah Fiqh Syahadah, Fiqh Taharah, Fiqh Solat, Aqidah (Tauhid) Ibadah (Feqah), Bahasa Arab) Adab (Akhlak) dan Al-Quran. Termasuklah Tajwid dan Sirah.

Tidak dikecualikan, subjek Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Sains, dan Matematik. Selain itu,  Pendidikan Jasmani, Pendidikan Kesihatan dan Pendidikan Kesenian turut diajar.

Nasriff juga berkata, jumlah pelajar diyakini meningkat pada tahun hadapan, sekali gus membuktikan SRITI semakin mendapat tempat di hati masyarakat.

Madrasah Nasrullah terletak kira-kira lima kilometer dari bandar Pasir Mas itu dibina Tuan Guru Daud Yusof iaitu ayahanda Menteri Besar Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.

Madrasah yang dibina pada tahun 1984 itu diberi nama Madrasah Nasrullah oleh mantan Menteri Besar Kelantan Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat pada tahun 1990.

Pada awal operasinya, Madrasah Nasrullah ialah pusat tarbiah atau pondok yang mempunyai 100 pelajar. – HARAKAHDAILY 3/9/2023

- Advertisement -