
KETIKA menafsir ayat 17 surah al A’raf dalam Jami’ul Bayan karangan imam at-Thabari, menukil riwayat Ibnu ‘Abbas yang mengatakan bahawa Iblis tidak menyebutkan dari atas mereka (manusia). Hal ini kerana arah tersebut merupakan arah datangnya rahmat kasih sayang Allah S.W.T. yang diturunkan kepada hamba-Nya:
“Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur”. (al-A’raf: 17)
Mengapa tidak dari bawah? Ada pendapat menyebut kerana kesombongan Iblis tidak datang dari bawah. Fokus saya ialah ‘rahmat yang datang dari atas’.
Dalam kisah Isra’ dan Mi’raj, satu riwayat menyebut Rasulullah sedang tidur di rumah Baginda, tiba-tiba atap rumahnya terbuka dan turunlah malaikat Jibrail ingin membawa Baginda melakukan Isra dan Mi’raj.
Saya terus berfikir mengapa peralihan kuasa kerajaan gagal PH 22 bulan kepada PN dipopularkan kerajaan tebuk atap. Seingat saya pemimpin PH mulanya menggunakan istilah pintu belakang. Mungkin istilah itu dirasakan tidak sesuai dengan kumpulan dipimpin Tan Sri Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (TGHH) berbanding istilah pintu belakang kepada Anwar ketika projek 16 September dulu. Kumpulan dipimpin TGHH lebih dirasakan sesuai dengan istilah ‘tebuk atap’.
Kumpulan penyokong PAS hingga kini digelar walaun. Mereka berhasrat istilah ini menjadikan orang PAS merasa hina sebaliknya orang PAS, terus berbangga walaupun cuba dinegatifkan penyokong PH. Kebanggaan itu diperakui apabila dengan yakin penyokong PAS mengakui mereka walaun malah ada kumpulan ditubuhkan dengan walaun united sehingga dibuat baju. Ini kerana orang PAS tahu ia istilah mulia dari al-Quran.
Ada tak penyokong PH yang mengaku walanon? Berbangga dengan walanon. Satu konotasi yang sangat pedih… WalaNon merujuk ‘taat membabi buta kepada Abang Non (Anwar)’. Ia juga membawa erti wa ( gua – istilah saya anak muda satu ketika dulu) Lanun… Wa lanun.
Penyokong PAS juga pernah disindir sebagai golongan yang ‘mengaku suci’, kononnya mengaku ahli syurga (tak ada siapa mengaku kecuali berharap). Mereka dilabel golongan suci kerana menjauhi mungkar dan istiqamah menyeru kebaikan. Mereka juga adalah kebanyakannya ahli masjid dan berbuat kebajikan (sebagaimana pengakuan terkini Lokman).
Orang PAS tidak malu malah rela dan berbangga jika disebut kaum suci. Perkara ini adalah kerana al-Quran mendedahkan bahawa yang mula mengunakan istilah ‘mereka kaum suci’ adalah pengikut kaum penentang Nabi Luth. Mereka adalah golongan yang mengamalkan liwat.
Apakah satu kebetulan atau satu anugerah dari Allah setiap label jahat yang dirancang kepada PAS sentiasa kembali dengan kemuliaan dan kehinaan itu terkena kepada mereka. Percayalah, selagi kita berpegang dengan Islam, kita akan terus mulia dan dimuliakan oleh Allah.
FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik Pesuruhjaya
PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 3/9/2023











