
DALAM musim haji 1373, Pemangku Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas Aias yang juga merupakan pegawai perubatan di Health Department of Malaya, Kelang telah mengetuai Rombongan Pasukan Kesihatan Haji ke Makkah. Sebelum ini, sejak 1952, Dr Haji Abbas turut mengetuai rombongan yang sama. Ketika berada di Makkah inilah Dr Haji Abbas dilantik secara rasmi sebagai Yang Dipertua Agung PAS pada 14 Ogos 1954, iaitu setelah memangku jawatan tersebut sejak November 1953. Selepas dilantik menjadi Yang Dipertua Agung PAS, Dr Haji Abbas telah mengambil inisiatif untuk mengadakan perjumpaan dengan ulamak-ulamak Melayu dan juga para pelajar bagi menjelaskan dasar dan tujuan perjuangan PAS kepada golongan agamawan di Tanah Suci itu. Selepas tamat musim haji 1373, satu pertemuan telah disusun untuk tujuan tersebut.
Antara langkah awal yang diambil oleh Dr Haji Abbas ialah mendapatkan sokongan beberapa ulamak Melayu seperti Sheikh Wan Ismail Abdul Kadir (Pak Da Eil al-Fathani) dan Sheikh Abdul Qadir Abdul Mutallib al-Mandili. Dengan sokongan mereka, satu pertemuan yang melibatkan para ulamak dan pelajar Melayu di Hijaz berjaya diadakan pada malam Selasa, 7 Safar 1374 bersamaan 4 Oktober 1954 di Kampung Syi’ib Ali, Makkah. Perjumpaan ini telah dihadiri oleh sekumpulan ulamak dan pelajar Melayu yang diketuai oleh ulamak terkenal, Sheikh Abdul Qadir Abdul Muttalib al-Mandili. Perjumpaan ini turut dihadiri oleh pimpinan dan ahli-ahli Gabungan Pelajar Islam Semenanjung (GAPIS) yang kemudiannya telah bersetuju untuk menubuhkan sebuah Cawangan PAS di Hijaz.
Menurut laporan Warta Negara, seluruh ulamak dan pelajar Melayu yang hadir dalam perjumpaan ini telah bersetuju sebulat suara supaya PAS Cawangan Makkah ditubuhkan bagi memperjuangkan kemerdekaan dan menegakkan cita-cita kenegaraan Islam. Dengan tertubuhnya Cawangan PAS di Makkah ini, ia menjadi cawangan pertama PAS di luar Tanah Melayu, sekali gus menjadikan PAS parti politik yang pertama di Tanah Melayu yang mempunyai cawangan di luar negeri. Serentak dengan itu juga, telah terbentuk hubungan yang lebih rapat antara PAS sebagai parti Islam di Tanah Melayu dengan GAPIS, badan pelajar agama di Hijaz itu, yang membolehkan GAPIS turut bersekutu dengan Kesatuan Pelajar Agama Se-Malaya (KPAS) yang ditubuhkan oleh Dewan Pemuda PAS pada 1954.
Dalam perjumpaan pada malam 7 Safar 1374 itu juga, para hadirin telah melantik sebuah jawatankuasa sebagai pimpinan PAS Cawangan Makkah. Mereka telah bersetuju melantik Ustaz Haji Abdul Khaliq dari Sungkai, Perak sebagai Ketua PAS Makkah; Ustaz Mustafa Afifi, Ketua GAPIS sebagai Setiausaha dan Ustaz Haji Yaakub Ali dari Kedah sebagai Bendahari. Beberapa orang Ahli Jawatankuasa turut dilantik. Selepas penubuhan PAS Cawangan Makkah ini, Pak Da Eil al-Fathani dan Sheikh Adul Qadir al-Mandili dianggap sebagai rujukan ulamak-ulamak PAS dan mereka turut menulis buku-buku dan mengeluarkan fatwa berkaitan kewajipan menegakkan Negara Islam, kewajipan menyertai dan mengundi PAS, hukum bekerjasama dengan orang bukan Islam dan sebagainya.
Menurut Dr Haji Abbas Alias dalam kenyataannya kepada Harakah pada 29 Oktober 1989, pergerakan PAS Cawangan Makkah yang ditubuhkan dalam tahun 1954 ini dimotori oleh Sheikh Abdul Qaditr al-Mandili sebagai guru yang berpengaruh di Masjidil Haram. Walaupun secara organisasi, PAS Makkah diketuai oleh Ustaz Haji Abdul Khaliq, tetapi mereka sebenarnya bergerak di bawah kawalan Sheikh Abdul Qadir al-Mandili. Atas sebab itu, Sheikh Abdul Qadir lebih dikenali sebagai ketua atau pemimpin PAS Cawangan Makkah berbanding Ustaz Abdul Khaliq. Kerana keprihatinan Sheikh Abdul Qadir terhadap kedudukan politik Islam di Tanah Melayu, terutama perjuangan PAS untuk menegakkan semula negara Islam, Sheikh Abdul Qadir sebagai pemimpin dan ulamak besar di Makkah telah menghasilkan beberapa buah buku antaranya:
I. Pendirian Agama Islam (1956), sebuah buku terjemahan tentang sikap Islam terhadap ideologi-ideologi politik moden.
II. Beberapa Mutiara Yang Bagus Lagi Indah (1959), sebuah buku yang mengandungi fatwa-fatwa mengenai pelbagai isu agama, termasuk isu-isu politik Islam.
III. Islam: Agama dan Kedaulatan (1959), sebuah buku mengenai pemikiran Islam mengenai politik dan kedaulatan negara.
IV. Kebagusan Undang-undang Islam dan Kecelaan Undang-undang Manusia (1961), sebuah buku mengenai kedudukan Undang-undang Islam dalam kehidupan manusia.
V. Siasah dan Loteri Serta Alim Ulamak (1962), sebuah buku yang membahaskan hukum loteri anjuran Umno yang berlaku sejak 1951 dan kemudiannya dikenali sebagai Loteri Kebajikan Masyarakat selepas merdeka.
Pergerakan politik Islam di Makkah juga menjadi panas dan menarik apabila Sheikh Abdul Qadir telah berpolemik dengan dua orang ulamak Umno di Tanah Melayu iaitu Tuan Guru Haji Abdul Rahman Merbuk dan Tuan Haji Ghazali Imam Masjid Bidong, Kedah mengenai hukum berkongsi kuasa dengan orang kafir untuk memerintah umat Islam. Politik yang berlaku di dada akhbar Warta Negara ini berlangsung antara Julai hingga Disember 1959, di mana akhirnya Sheikh Abdul Qadir mencabar Imam Masjid Bidong itu untuk berdebat atau bermuzakarah secara terbuka untuk mencari kebenaran setelah hujah-hujah imam tersebut mulai tersasar daripada kaedah perdalilan dalam polemik tersebut. Berakibat daripada polemik dan buku-buku tulisannya, Sheikh Abdul Qadir telah mengalami serangan peribadi daripada para pemimpin Umno ekoran kegagalan ulamak Umno berhujah, dan akhirnya buku-buku mula dikenakan sekatan.
PAS Cawangan Makkah melalui GAPIS juga turut membina hubungan dengan KPAS, sayap pelajar yang dikuasai oleh PAS di Tanah Melayu ketika itu dalam membentuk hubungan para pendukung Gerakan Islam di kalangan pemuda dan pelajar di seluruh dunia. Apabila GAPIS menjadi sekutu kepada KPAS, mereka turut membina hubungan dengan Gerakan Pemuda Islam Indonesia (GPII), Himpunan Mahasiswa Islam Indonesia (HMII) dan Ikatan Pemuda Nahdatul Ulamak dari Indonesia. Kesan daripada perkembangan tersebut juga, dalam Mesyuarat Agung Tahunan PAS Kali Kelima pada 23-25 Disember 1956, PAS Cawangan Pokok Sena telah mengusulkan supaya perjuangan PAS diperkenalkan kepada para pelajar Melayu di luar negara seperti di Makkah, Mesir, India, Indonesia, Pakistan dan lain-lain. Cadangan ini sangat relevan bersesuaian dengan kemunculan tokoh-tokoh pelajar seperti Zulkifli Mohammad (Mesir), Othman Abdullah (Indonesia) dan Yusof Abdullah ar-Rawi (Makkah) sebagai pemimpin PAS mulai 1956 itu.
Pergerakan PAS Cawangan Makkah kemudiannya menjadi semakin pudar setelah berlakunya tekanan-tekanan politik di Tanah Melayu, terutama selepas merdeka. Beberapa pemimpin utama yang terlibat dalam pengasasan dan pergerakan PAS Cawangan Makkah telah menamatkan pengajian dan kembali ke Tanah Melayu. Kerajaan Arab Saudi sendiri mempunyai dasar yang agak keras terhadap pelajar asing di Makkah sehingga jumlah mereka telah berkurang kerana beralih ke Mesir. Namun begitu, tekanan yang dikenakan ke atas pengikut Sheikh Abdul Qadir di Tanah Melayu melalui penahanan ISA ke atas beberapa ulamak di Kelantan, termasuk Tuan Guru Haji Omar Daud Kubang Bemban pada 1963 telah memberikan kesan yang agak besar kepada PAS Cawangan Makkah, kerana tindakan mengharamkan kitab-kitab guru mereka dan menahan pengikutnya di bawah ISA telah menimbulkan ketakutan kepada pelajar Melayu di Makkah. Pada 16 Ogos 1965, Sheikh Abdul Qadir telah meninggal dunia, sekali gus menyebabkan PAS Cawangan Makkah turut terkubur.
Rujukan
Sheikh Abdul Qadir al-Mandili, 1959. Beberapa Mutiara Yang Bagus Lagi Indah. Mesir: Matbaah al-Anwar.
Harakah, Bil. 130, 29 September 1989, h. 5
Warta Negara, 20 Oktober 1954
MOHD FADLI GHANI
Institut al-Balaghul Mubin
13 Safar 1445 – HARAKAHDAILY 30/8/2023

Dato’ Dr Haji Abbas Alias ketika menjadi Yang Dipertua Agung PAS dan mengasaskan PAS Cawangan Mekah pada 1954.

Sheikh Abdul Qadir al-Mandili, tokoh di belakang tabir pengasasan PAS Cawangan Makkah











