
ADA yang melihat penglibatan pelajar tahfiz yang ‘terperangkap’ dalam konsert yang dihadiri Perdana Menteri ke-10 (PMX) perkara ‘kemalangan’. Siapa ingin dipersalahkan, itu antara bentuk komen dan ulasan.
Saya melihat lebih dari itu, ia bukan satu kemalangan. Ya, mungkin bagi pusat tahfiz itu satu kesilapan atau terperangkap. Tetapi bagi penganjur ia satu yang dibuat dengan penuh sedar. Apakah ia bertujuan menghina pusat tahfiz, atau satu isyarat kepada umum menormalisasikan kemungkaran.
Saya tidak tahu pelajar tahfiz itu dijemput atas alasan apa. Juga kenapa mereka hadir jika mereka tahu ada konsert di dalamnya. Apakah hanya kerana menghormati jemputan yang dihadiri PMX atau ada janji diungkapkan?
Ini bukan kali pertama. Sebelum ini pun pernah berlaku. Namun kali ini hampir pasti tiada kesilapan dan terlalu naif untuk menyatakan terperangkap. Berkaitan pengurusan tahfiz, hanya nasihat agar berhati-hati dan hargailah kemuliaan al-Quran yang kamu bawa.
Jika pelajar tahfiz boleh diheret ke konsert, apalah salah bagi masyarakat umum seperti kita. Kerana itu saya katakan ia tidak boleh dipandang ringan. Ia satu penghinaan seperti sesuatu perancangan. Lebih malang ia berlaku dengan kehadiran seorang Perdana Menteri yang membawa konsep madani. Apakah konsep madani bererti meneutralkan konsert menjahanamkan umat melalui kehadiran pelajar tahfiz yang mungkin menolak bala jika diturunkan Allah?
Paling tidak ia gambaran Madani kerana ia konsert yang dihadiri Perdana Menteri diiringi pelajar tahfiz. Jika tiba masanya tiada lagi masyarakat yang bersuara membantah, ia akan menjadi biasa malah tiada lagi perbezaan mungkar.
Renungilah kera-kera bani Israel. Mereka bukan hanya pelaku mungkar, redha mungkar malah yang awal menentang dan akhirnya meraikan hasil dari perbuatan mungkar. Masihkah kamu redha wahai umat Muhammad?
FAIRUZ HAFIIZH OTHMAN
Setiausaha Politik Pesuruhjaya
PAS Negeri Perak – HARAKAHDAILY 30/8/2023











