
Pemain Liverpool, Virgil van Dijk, didakwa oleh Persatuan Bola Sepak (FA) kerana berkelakuan dengan cara tidak wajar berikutan kad merahnya semasa kemenangan 2-1 kelab itu di Newcastle United, kata badan induk bola sepak Inggeris, semalam.
Kapten Liverpool, Van Dijk dilayangkan kad merah oleh pengadil John Brooks selepas kira-kira 30 minit perlawanan Ahad lalu kerana mengasari pemain Newcastle, Alexander Isak di luar kotak penalti.
Ketika insiden itu disemak menggunakan VAR, pemain pertahanan itu kelihatan bertekak dengan Brooks, mempertikaikan keputusan itu.
“Pemain pertahanan itu didakwa bertindak dengan cara yang tidak wajar dan/atau menggunakan kata-kata kesat dan/atau menghina terhadap pegawai perlawanan selepas dibuang padang pada minit ke-29,” kata FA dalam satu kenyataan.
Van Dijk mempunyai masa sehingga Jumaat untuk menjawab pertuduhan itu. – REUTERS











