
KOTA BHARU: Anggota Exco kerajaan negeri, Rohani Ibrahim akan meneruskan dasar serta perancangan kerajaan negeri sebelum ini untuk memastikan kebajikan rakyat terus diperkasa.
Katanya, pada penggal lepas kerajaan negeri melaksanakan pelbagai dasar termasuk Dasar Anak Yatim Islah Kelantan
“Kita akan meneruskan agenda dan perancangan yang lepas dengan sedikit penambahbaikan.
“Benda sudah ada, jadi kita akan memastikan semua dasar yang ada boleh memberi manfaat untuk rakyat,” katanya selepas menyampaikan taklimat dan penyerahan cek Skim Cakna Suri bagi fasa kedua di Bilik Gerakan Negeri, Kompleks Kota Darulnaim semalam.
Skim tersebut merupakan bantuan khas diperkenalkan kerajaan negeri sejak 2020 sebagai penghargaan terhadap golongan suri rumah kategori B40.
Kerajaan negeri membelanjakan RM2 juta sebagai bayaran ‘one-off’ kepada lebih 12,000 penerima tahun ini dan sumbangan sebanyak RM200 disalurkan secara dua fasa membabitkan 45 Dun.
Sumbangan skim tersebut diteruskan bagi fasa kedua membabitkan kira-kira 3,000 penerima.
Rohani yang juga Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita berkata, fasa pertama seramai 9,000 penerima mendapat manfaat skim berkenaan.
“Permohonan telah dibuka pada awal tahun ini secara dalam talian dan juga melalui Pusat Khidmat Dun, ia terbuka kepada semua rakyat tanpa mengira batas politik dan bangsa,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/8/2023











