Am General, Takaful Ikhlas perlu jelaskan isu INSAN

- Advertisement -

PEMUDA PAS Selangor menyokong penuh tuntutan oleh beberapa NGO dan pejuang rakyat berkenaan penjelasan tuntas oleh pihak Am General Insurance dan Takaful IKHLAS berkenaan program Skim Insuran Am Selangor (INSAN).

Menurut hasil laporan daripada pangkalan data SSM menunjukkan secara jelas milikan syarikat WavPay Fintech Holding Sdn Bhd yang menguruskan skim ini mempunyai banyak perkara yang boleh dipersoalkan.

Persoalan pokok bagi polemik ini kekal pada aspek pendaftaran skim ini ke atas rakyat Selangor tanpa pengetahuan dan izin mereka sebagaimana dibuktikan oleh warga Selangor sendiri.

Pemuda PAS Selangor serta puluhan entiti politik dan rakyat telah menuntut satu jawapan tuntas dan profesional berkenaan polemik ini. Namun sehingga kini, Menteri Besar Selangor, YAB Amirudin Shari hanya memberikan sepatah jawapan yang telah pun dipertikaikan rakyat sendiri. Semenjak itu, tiada seorang pun pemimpin PH Selangor bersuara secara meyakinkan berkenaan isu ini.

Oleh sebab itu, Pemuda PAS Selangor turut menuntut penjelasan daripada penyedia polisi insuran iaitu Am General Insurance serta Takaful IKHLAS berkenaan penglibatan kedua-dua entiti besar ini dalam skandal INSAN yang amat memalukan ini. Rakyat berhak tahu situasi sebenar apa yang telah berlaku dalam skim INSAN ini.

MOHAMED SUKRI OMAR
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Selangor – HARAKAHDAILY 29/8/2023

- Advertisement -
- Advertisement -