
KUALA LUMPUR: Program ‘Hijrahku Laguku’ wajar diteruskan TV AlHijrah untuk menonjolkan bakat dan minat seni yang berteraskan agama Islam dalam kalangan anak-anak muda.
Bekas Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Idris Ahmad berkata, rancangan tersebut merupakan inisiatif yang baik.
“Rancangan seperti itu sesuai mengajar anak muda mencari jalan untuk berhibur yang diredai Allah SWT. Selain itu, tiada sebarang sentimen politik pun diterapkan,” katanya ketika dihubungi di sini.
Baru-baru ini, TV AlHijrah menyiarkan semula rakaman program yang turut kelihatan gambar Ustaz Idris.
Berikutan penyiaran rakaman tersebut, stesen televisyen terbabit difahamkan ditekan pihak tertentu sehingga pihak pengurusan mengeluarkan kenyataan akan mengadakan siasatan dalaman.
Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai berkata, tindakan menekan stesen berkaitan siaran ulangan program berkenaan amat tidak wajar.
Katanya, program itu wajar dilaksanakan setiap tahun bagi memupuk nilai-nilai Islam terhadap semua masyarakat termasuk golongan muda.
“Namun apabila saya diberitahu mengenai isu ini hanya disebabkan ada wajah saya dalam rancangan tersebut, maka saya mohon mana-mana pihak untuk potong mana-mana bahagian tidak sesuai.
“Ini kerana apa yang saya inginkan ialah hiburan berlandaskan Islam dapat diterapkan kepada seluruh rakyat Malaysia dan bukan sebarang sentimen politik,” ujarnya.
Sebelum ini, katanya tiada sebarang sekatan berlaku ketika mana-mana stesen televisyen menyiar ulangan yang mempunyai gambar bekas menteri.
“Janganlah hanya kerana kemunculan gambar menteri-menteri sebelum ini yang mempunyai perbezaan politik, kita sanggup memangsakan pihak-pihak lain,” katanya.
“Sebagai umat Islam kena menunjukkan contoh yang baik, termasuk berpolitik kerana perbezaan ideologi politik tidak bermakna yang orang tidak bersalah perlu dijadikan mangsa keadaan.
“Janganlah hanya pemikiran politik yang sempit, kita abaikan bakat-bakat yang sepatutnya menjadi panduan untuk rakyat Malaysia,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/8/2023











