Ustaz Nassurudin terus legasi Membangun Bersama Islam

- Advertisement -

KOTA BHARU: Menteri Besar, Ustaz Dato’ Mohd Nassurudin Daud menegaskan menjadi keutamaannya sebagai pemimpin bagi seluruh rakyat Kelantan tanpa mengira agama, bangsa dan ideologi politik.

Beliau menegaskan akan meneruskan legasi Membangun Bersama Islam (MBI) yang meletakkan Islam sebagai asas pentadbiran bagi mencapai kemakmuran negeri dan kebajikan rakyat.

- Advertisement -

Katanya, keadilan Islam terserlah dan kukuh di bumi Serambi Mekah kepada seluruh rakyat Kelantan yang perlu terus dipertahankan.

“Saya juga yakin barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri yang diperkenan dan dilantik oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku adalah saf kepimpinan yang seimbang dan terbaik dalam pelbagai bidang khususnya ulama, teknokrat, dan profesional.

“Saya menzahirkan setinggi-tinggi rasa kesyukuran kehadrat Allah SWT kerana majlis angkat sumpah Menteri Besar, Timbalan Menteri Besar serta Exco selamat disempurnakan semalam,” katanya pada kenyataan di sini.

Oleh itu, beliau merakam sembah takzim ucapan Junjung Kasih kehadapan Ke bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V atas perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku mencemar duli menyempurnakan majlis bersejarah tersebut.

Beliau turut merakamkan ucapan penghargaan kepada kepimpinan parti atas kepercayaan terhadapnya bagi menerajui pentadbiran kerajaan negeri.

“Apa yang penting konsep musyawarah merupakan asas kekuatan kepada kerajaan negeri.

“Saya juga yakin, hubungan Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan kekal kukuh dengan semangat federalisme.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengambil pendekatan Matang dan Sejahtera dalam hubungan kerajaan dengan kerajaan demi kesejahteraan rakyat,” ujarnya.

Beliau turut berharap sokongan dan dukungan semua pihak termasuk wakil rakyat, pegawai tadbir negeri, penjawat awam, alim ulama, NGO dan seluruh rakyat Kelantan untuk sama-sama meneruskan legasi MBI. – HARAKAHDAILY 16/8/2023

- Advertisement -