
KOTA BHARU: Bekas Timbalan Menteri Besar Dato’ Mohd Amar Abdullah yakin amanah yang diletakkan di bahu kepimpinan kerajaan negeri sekarang dapat dilaksanakan dengan penuh keikhlasan dan keadilan.
Katanya beliau gembira kerana percaya saf kepimpinan baharu akan membawa Kelantan ke arah yang lebih cerah.
“Beban yang diringankan daripada bahu saya sekarang adalah penyerahan kepada kalian.
“Semoga Allah memberkati dan membimbing kita dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab ini dengan penuh integriti dan kejujuran.
“Alhamdulillah, syukur ke hadrat Allah SWT yang telah memberi peluang kepada kawan-kawan saya menerajui negeri Kelantan,” katanya yang juga Adun Panchor pada kenyataan di laman sosialnya.
Menurutnya juga beliau bersyukur kerana diberi kesempatan untuk melihat perubahan positif dan kemajuan yang akan dibawa.
Sementara itu PAS Pengkalan Chepa menjunjung kasih dan mengucap setinggi-tinggi tahniah kepada Sultan Muhamad V di atas kebijaksanaan baginda melantik Menteri Besar Kelantan.
Katanya, PAS Pengkalan Chepa berpendirian teguh bersama keputusan Al-Sultan Kelantan dengan sepenuh hati dan jiwa tanpa berbelah bahagi.
Setiausahanya Muhammad Abdul Munib Assyakirin Zakaria berkata, pihaknya menerima dengan hati terbuka atas ketentuan Allah SWT dalam urusan pelantikan Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar.
“PAS Pengkalan Chepa yakini bahawa setiap ketentuan Allah SWT mempunyai hikmatnya yang tersendiri,” katanya.
Menurutnya juga PAS Pengkalan Chepa mengutuk sekeras-kerasnya cubaan fitnah jahat yang sengaja dimainkan pihak tertentu terhadap pemimpin PAS kawasan terbabit.
Kata beliau pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab.
“PAS Pengkalan Chepa turut mengucapkan tahniah kepada Dato’ Panglima Perang Ustaz Nassuruddin Daud dan Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan di atas pelantikan sebagai Menteri Besar dan Timbalan Menteri Besar,” ujarnya.
Beliau juga berkata, pihaknya yakin dengan kemampuan dan kebijaksanaan pemimpin terbabit melaksanakan tanggungjawab mengurus negeri dengan adil, amanah dan bijaksana.
“Semoga Allah SWT sentiasa mencucuri rahmat ke atas KDYMM Al-Sultan dan seluruh rakyat Negeri Kelantan Darul Naim,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 16/8/2023




















