
KOTA BHARU: Kelantan meneruskan hubungan baik antara negeri dan persekutuan yang sedia terjalin sejak pentadbiran lalu yang diketuai oleh Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.
Menteri Besar, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, kerajaan negeri sentiasa mengambil pendekatan matang dan sejahtera bagi memastikan kehidupan rakyat sentiasa terjamin.
Beliau berkata, hasrat itu diterjemahkan melalui hubungan kerajaan negeri dan kerajaan persekutuan yang telah termaktub dalam konsep federalisma yang diamalkan di Malaysia.
“Apa yang penting ialah konsep musyawarah merupakan asas kekuatan kepada kerajaan ini, saya juga yakin hubungan kerajaan negeri dan persekutuan kekal kukuh dengan semangat federlisma, yang mana kita kerajaan negeri sentiasa mengambil pendekatan matang dan sejahtera dalam hubung G2G demi kesejahteraan rakyat saya mengharapkan sokongan dan dukungan semua pihak,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media di Mabna MBI, Kompleks Kota Darulnaim di sini hari ini selepas melaporkan diri bagi memulakan tugas rasmi sebagai Menteri Besar. (Foto atas)
Hadir sama pada sidang media itu, Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr. Mohamed Fadzli Hassan dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Nazran Muhammad.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Meranti itu mengumumkan keutamaannya untuk menjadi Menteri Besar kepada semua rakyat di Kelantan tanpa mengira kaum dan agama.
Bahkan, katanya kerajaan negeri bagi penggal ke-15 akan menerusikan legasi Membangun Bersama Islam kerana dasar itu terbukti meletakkan Islam dalam pentadbiran kerajaan negeri.
“Melalui dasar ini sudah terjamin meletakkan Islam sebagai asas pentadbiran kemakmuran negeri dan kebajikan rakyat, keadilan Islam dan ini kita akan terus pertahankan.
Dalam pada itu beliau berkata, portfolio barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) mendapat perkenan Sultan Kelantan akan diumumkan dalam masa terdekat.
“Barisan Exco telah diperkenankan ini adalah satu pimpinan yang seimbang dan terbaik dalam pelbagai bidang khususnya ulama, teknokrat dan profesional,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/8/2023




















