
SEPANG: Dua penyokong parti politik cedera diserang sekumpulan lelaki dari parti lawan di Taman Telok Merbau, Tanjung Sepat di sini, kira-kira jam 8 malam selepas proses pengiraan undi, Sabtu lepas.
Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Dewan Undangan Negeri (DUN) Sepang, Zamri Surif berkata, seramai sembilan penyokong parti terbabit pergi ke rumah mangsa kerana tidak puas hati mangsa memberi sokongan kepada PERIKATAN NASIONAL (PN).
“Semasa pengiraan kertas undi, penyokong PH-BN mendapati ada 100 lebih kertas undi menyokong PN.
“Selepas itu, sembilan penyokong parti terbabit pergi ke rumah mangsa bertanya kenapa menyokong PN. Mereka kemudian memukul mangsa dengan batang paip,” kata Zamri kepada Harakahdaily, hari ini.
Menurutnya, mangsa kemudian membuat laporan polis. Difahamkan, mereka yang terbabit telah ditahan oleh polis untuk membantu siasatan berhubung kejadian itu. – HARAKAHDAILY 16/8/23











