
KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Pahang menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi hari ini, melepas dan membebaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin, daripada empat pertuduhan berkaitan rasuah membuktikan pertuduhan yang dihadapinya adalah untuk menjatuhkan nama baik bekas Perdana Menteri.
Salamiah Mohd Nor yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, Muhyiddin yang juga Pengerusi PERIKATAN NASIONAL (PN) menghadapi pelbagai dakwaan palsu yang dibuat oleh pelbagai pihak yang tidak bertanggungjawab untuk menjatuhkan nama baiknya.
Namun, katanya keputusan mahkamah hari ini, membuktikan empat pertuduhan berkenaan sebenarnya lebih bersifat politik, iaitu untuk mengalahkan PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabtu lalu.
“Bekas Menteri Besar Selangor, Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim juga pernah difitnah sehingga 91 muka surat tuduhan palsu oleh pihak yang tidak bertanggungjawab.
“Terbukti selepas dibawa ke mahkamah, pihak yang membuat tuduhan palsu memohon maaf kepada Allahyarham Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, pada ketika itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau juga mempersoalkan waktu dakwaan dibuat terhadap Muhyiddin pada awal tahun ini, iaitu sebelum PRN berlangsung.
“Jika diteliti sebenarnya, apakah tujuan dakwaan ini? Tidak lain untuk memburukkan imej kepimpinan PN menjelang PRN baru-baru ini,” katanya.
Perkara ini juga lebih melucukan, katanya kerana keputusan mahkamah membebaskan Muhyiddin daripada empat tuduhan berkaitan rasuah melibatkan RM232.5 juta selepas PRN di enam negeri berakhir. – HARAKAHDAILY 15/8/2023




















