Tanpa kuasa politik tidak boleh tutup premis judi

- Advertisement -

KOTA BHARU: Sejak Kelantan diterajui di bawah kepimpinan ulama banyak pembaharuan dan perubahan dilakukan dalam pentadbiran kerajaan negeri selari dengan syariat Islam.

- Advertisement -

Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) DUN Pasir Tumboh, Ustaz Abdul Rahman Yunus berkata agenda itu dilaksanakan PAS di Kelantan sejak tahun 1990 sehingga sekarang.

Katanya, agenda perubahan itu dirintis almarhum Tuan Guru Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat termasuk mengharamkan amalan riba dan menutup premis judi.

“Kalau kita tidak keluar mengundi dan sekadar mengajar di masjid tidak boleh mengubah peraturan dalam kehidupan masyarakat.

“Kita tidak boleh tutup premis judi kerana ia perlu kuasa politik untuk membuat perubahan,” katanya ketika ditemui semasa gerak kerja kempen.

Menurutnya juga dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang digubal lebih 30 tahun lalu diperkasakan lagi di bawah pentadbiran Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob.

Katanya dasar tersebut ditambahbaik lagi menerusi agenda merakyat MBI dengan melaksanakan tonggak Keberkatan, Kemakmuran dan Kebajikan (3K) dalam pentadbiran kerajaan.

“Dasar inilah yang digembeleng kerajaan negeri sehingga kita dapat keyakinan rakyat mengekalkan pentadbiran di bawah kepimpinan ulama lebih 30 tahun.

“Melalui prinsip Ubudiyah, Masuliyah dan Itqan (UMI) sehingga sekarang tiada seorang pun pimpinan kerajaan negeri disabitkan dengan salah guna kuasa dan rasuah,” katanya. – HARAKAHDAILY 4/8/2023

- Advertisement -