130 NGO gesa SPRM siasat Zahid cuba sogok belia

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa mengambil tindakan segera terhadap Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa menyuburkan amalan rasuah.

- Advertisement -

Gesaan itu dibuat oleh 130 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Melayu dan Islam di bawah Sekretariat UMMAH.

Pengerusi Gerakan Anak Terengganu Insaf (GANTI), Wan Faizul Wan Abas berkata SPRM perlu bertindak dan jangan mengamalkan sikap pilih kasih kerana tindakan Zahid cuba menyogok belia bagi memastikan kemenangan parti pemerintah dalam pilihan raya negeri (PRN) pada 12 Ogos ini merupakan satu kesalahan.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas membuat laporan terhadap Zahid di Ibu Pejabat SPRM Terengganu, di sini, semalam. (Foto atas)

Katanya, apa yang dilaporkan kepada SPRM mengenai ucapan Presiden Umno ketika program  Himpunan Belia Lestari Generasi Ungggul (LesGU) sempena program sentuhan Kasih di Bandar Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) di mana beliau dengan jelas menyogok belia.

Tambahnya, dengan mengumumkan peruntukan geran tambahan sebanyak RM100,000 kepada Persatuan Belia Gabungan Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) dan RM250,000 untuk Majlis Belia Negeri Terengganu serta RM200,000 untuk pasukan bermotosikal dan berjanji bantuan itu akan ditambah jika belia membantu parti pemerintah menang, jelas adalah satu bentuk sogokan yang berlaku secara terang-terangan oleh parti pemerintah.

“Kita meminta pihak SPRM menyiasat dengan setelus-telusnya dan seberapa segera perkara ini supaya rakyat diberikan hak yang sepatutnya dalam menentukan pemerintah secara demokrasi yang adil,” katanya.

Menurutnya, tindakan Zahid itu merupakan satu kesalahan besar kerana pemberian itu diumumkan pada 21 Julai dan berkemungkinan bersabit dengan kesalahan di bawah Seksyen 16 (b) Akta SPRM 2009 iaitu menawarkan atau menyogok serta boleh disabitkan juga dengan Seksyen 23 kerana menyalahgunakan kuasa.

“Kami menyeru SPRM mengambil tindakan seberapa segera kerana kesalahan yang dilakukan ini tidak bermoral serta dilakukan secara awam dan terang-terangan sehingga tular di media sosial serta telah diketahui umum,” ujarnya.

Sementara itu, Wan Faizul dalam satu kenyataan berkata, bukti ucapan Zahid sangat jelas menerusi link video Astro Awani (https://www.astroawani.com/videos/video-terkini-x7sio1/peruntukan-rm250000-kepada-majlis-belia-negeri-terengganu-x8mucjw),  Youtube (https://www.youtube.com/watch?v=-mIC78-2czM) dan Harian Metro (https://www.hmetro.com.my/mutakhir/2023/07/992859/belia-terengganu-terima-peruntukan-lebih-rm500000)

“Kami juga percaya bahawa tindakan yang dilakukan tersebut merupakan kesalahan pilihan raya di bawah Seksyen 10(a) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954 kerana menawarkan sogokan dalam bentuk janji pemberian kewangan bagi mendapatkan undi.

“Kami juga mendesak kerajaan yang ada untuk tidak mengamalkan sikap pilih kasih (double standard) terhadap mana-mana pihak khususnya kepada parti lawan sepanjang pilihan raya umum negeri ke 15 pada kali ini,” ujarnya.

Beliau berkata, kenyataan-kenyataan oleh kerajaan untuk mengambil tindakan terhadap parti lawan dan kerajaan negeri yang menawarkan perkhidmatan bas untuk pengundi menunjukkan berlakunya sikap pilih kasih dalam menangani isu rasuah dan sogokan ketika pilihan raya.

“Kami menganggap bahawa menyediakan kenderaan balik mengundi bagi rakyat Malaysia oleh mana-mana pihak sama ada kerajaan negeri, parti pemerintah, parti pembangkang mahupun badan-badan bukan kerajaan patut dipuji kerana ia mengalakkan penglibatan rakyat melalui sistem demokrasi yang sihat,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 4/8/2023

- Advertisement -