
SEOUL: Seorang lelaki yang memandu kereta merempuh orang ramai yang lalu lalang dan kemudian keluar dari keretanya dan kemudian menikam, mencederakan 14 orang dalam kejadian berhampiran ibu kota Seoul.
Serangan di Seongnam berlaku beberapa hari selepas kejadian serangan menikam yang jarang berlaku di Korea Selatan yang menyebabkan seorang maut dan tiga cedera.
Polis berkata, penyerang ditahan selepas kelihatan menyerang orang secara rambang. Media melaporkan suspek sebagai seorang lelaki berusia 20-an, pekerja penghantaran yang mempunyai beberapa masalah kesihatan mental.
Serangan berhampiran stesen Seohyeon, kira-kira 20 kilometer dari Seoul yang mempunyai gedung serbaneka besar dan kedai lain.
Laporan media menyatakan bahawa lelaki terbabit memandu keretanya yang merempuh sekumpulan orang yang berjalan di kaki lima dan kemudian keluar dari kenderaannya lalu memasuki sebuah pusat beli-belah.
Video yang tersebar di media sosial menunjukkan suspek mengejar orang ramai.
Polis dan pegawai bomba memberitahu bahawa 14 orang cedera dalam kejadian itu – sembilan ditikam dan lima dilanggar oleh kereta itu. Dua berada dalam keadaan parah.
Agensi berita Newsis melaporkan seorang telah meninggal dunia, tetapi pegawai polis menafikan berita itu.
Di tempat kejadian pagi ini, seorang pekerja sedang membersihkan kesan darah di luar pusat beli-belah.
Pesuruhjaya Polis, Jeneral Yoon Hee-keun memberi amaran kepada rakyat Korea Selatan supaya berwaspada terhadap serangan demikian dan menggesa pegawai supaya berwaspada jenayah lain yang mungkin meniru kejadian itu. – REUTERS











