Wakil rakyat PAS gigih bantu rakyat

- Advertisement -

JERLUN: Ketika berperanan sebagai pembangkang, wakil rakyat PAS memberi tumpuan terhadap kebajikan rakyat walaupun tidak mendapat peruntukan kerajaan negeri.

Calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Ayer Hitam, Azhar Ibrahim berkata, selama dua tahun selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), wakil rakyat PAS berperanan sebagai pembangkang.

- Advertisement -

“Fasa pertama, kita tumpu kebajikan rakyat sekadar kemampuan kewangan, termasuk program ziarah orang sakit, bantuan makanan dan membaiki rumah.

“Apabila berada dalam kerajaan, kita perbanyakkan aktiviti kebajikan dan diperluaskan dengan memberi bantuan kepada usahawan muda, peniaga, petani dan bantuan membaiki rumah penduduk miskin,” katanya di sini.

Ketika persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), katanya banyak isu yang ADUN PAS bangkitkan ditangani kerajaan negeri.

“Apabila kita jadi kerajaan, kita boleh bawa suara rakyat ke peringkat negeri. Perkara utama yang saya bawa ialah naik taraf jalan kampung.

“Sebelum ini, jalan kampung hanya sekadar ditambun batu, begitu juga jalan ladang. Apabila dinaik taraf jalan kampung kita turap dengan tar,” katanya.

Azhar berkata, kerajaan negeri berusaha mengatasi masalah bekalan air bersih dan lokasi yang terjejas akibat tekanan rendah.

Menurutnya, masalah sudah lama berlaku dan kerajaan PN memulakan projek menukar paip lama.

“Rakyat melihat perkembangan projek tersebut, cuma ia mengambil masa untuk siap. Bukan projek sekupang dua, projek melibatkan kos RM450 juta, tentu akan makan masa untuk siap,” katanya. – HARAKAHDAILY 2/8/2023

- Advertisement -