
KOTA BHARU: Sejak beberapa penggal lepas, PAS Kelantan turut memberi keutamaan kepada calon wanita bagi membolehkan mereka membawa suara rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada peringkat awal, wakil muslimat dilantik sebagai Senator yang bermula dengan Hajah Kalthom Othman bagi mewakili Kelantan di Dewan Negara, antara 1991 sehingga 1997.
Selepas suasana politik negara kembali tenang, calon muslimat juga diketengahkan pada Pilihan Raya Umum (PRU).
Kalthom juga pernah pernah bertanding di kerusi Parlimen Pasir Puteh pada PRU 2004.
Bilangan calon muslimat kemudian ditambah dengan menampilkan Rohani Ibrahim di DUN Tanjong Mas dan Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff di Parlimen Rantau Panjang.
Rohani mempertahankan kerusi DUN Tanjung Mas sejak PRU11. Beliau merupakan satu-satu calon wanita bertanding di peringkat DUN dikemukakan PAS Kelantan ketika itu.

Pada PRU 2008, seorang lagi calon wanita diketengahkan, iaitu Wan Ubaidah Omar yang mewakili DUN Kijang.
Wan Ubaidah yang juga Timbalan Ketua Muslimat PAS Kelantan dilantik sebagai anggota Exco kerajaan negeri yang menerajui portfolio Pembangunan Wanita, Keluarga dan Kesihatan.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) kali ini, PAS Kelantan menampilkan seorang lagi wakil muslimat untuk mengantikan tempat Dato’ Mumtaz Md Nawi yang berpindah ke kerusi parlimen pada PRU lepas.
Ustazah Nor Asilah Mohammad Zin diketengah bagi mempertahankan kerusi DUN Limbongan, Pasir Puteh.
Beliau mula terbabit secara aktif bersama PAS pada tahun 2003 sebagai Penolong Setiausaha Dewan Muslimat PAS Pasir Puteh dan kemudian diberi amanah sebagai Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan sejak 2013.
Asilah menggantikan Ustaz Mohd Nazlan Mohamed Hasbullah di DUN Limbongan. Kehadirannya akan menyemarakkan lagi suara wanita di DUN Kelantan. – HARAKAHDAILY 2/8/2023











