Majlis isytihar calon PN Kelantan dimula solat hajat

FOTO: RIZAL TAHIR
- Advertisement -

KOTA BHARU: Majlis pengisytiharan calon PERIKATAN NASIONAL (PN) Kelantan malam ini bermula dengan solat Maghrib dan diikuti kuliah yang disampaikan ulama muda, Ustaz Abdul Fatah Jaafar.

Kemudian diadakan solat hajat yang diimamkan ahli jawatankuasa Dewan Ulamak, Ustaz Ellias Ahmad yang juga pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Sultan Ismail Petra (KIAS).

- Advertisement -

Ribuan rakyat Kelantan menyertai solat hajat dan solat Isyak yang diadakan di Dataran Warisan Stadium Sultan Muhammad IV.

Keadaan cuaca yang lebih baik malam ini, membolehkan orang ramai memenuhi pekarangan tempat berlangsung program, berbanding himpunan Munajat Rakyat pada Jumaat lepas dengan hujan yang begitu lebat.

Turut hadir pada majlis bersejarah yang juga diadakan di Negeri Sembilan dan Terengganu, Timbalan Presiden PAS, Dato Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Menteri Besar, Ustaz Dato Bentara Kanan Ahmad Yakob; Pengerusi Bersatu Kelantan, Dato Kamaruddin Md Nor dan pimpinan PAS, Bersatu dan Gerakan negeri.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan, Dato Mohd Amar Abdullah berkata, calon PN yang bertanding di negeri itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) menggunakan lambang bulan.

Katanya juga dengan perkembangan yang berlaku sekarang tidak dinafikan PN mampu menguasai 45 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) pada 12 Ogos ini.

“Bagaimanapun jangan pula kita lupa ketentuan Allah Taala dan patuh kepada arahan pimpinan insya-Allah kita mampu mencapai kejayaan seperti yang diharapkan,” katanya pada ucapan aluan pada program tersebut. – HARAKAHDAILY 27/7/2023

- Advertisement -