
MARANG: PERIKATAN NASIONAL (PN) Terengganu menampilkan calon dalam kalangan ulama, profesional dan usahawan untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.
Timbalan Pengerusi PN negeri, Senator Dato’ Husain Awang berkata, seramai 16 calon adalah berkelulusan agama, profesional dan usahawan (13) serta lain-lain (3).
Beliau menyatakan demikian pada Majlis Pengisytiharan Calon PN/PAS DUN ke-15 Terengganu di Dewan Tok Guru, Rusila malam ini.
Turut berucap ialah Timbalan Pengerusi PN yang juga Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Penolong Setiausaha Agung PN yang juga Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.
Menurutnya, kombinasi calon-calon itu mampu menterjemah dasar dan hala tuju PAS untuk memimpin kerajaan Terengganu dalam tempoh lima tahun akan datang.
“Semua calon PERIKATAN NASIONAL di Terengganu menggunakan lambang PAS,” ujarnya yang juga Pesuruhjaya PAS negeri.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita yang dilantik, Zuraida Md Noor adalah calon wanita tunggal yang bertanding pada PRN Terengganu kali ini.
Beliau bertanding di DUN Ladang yang sebelum ini diwakili Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar.
Pada majlis itu, Ustaz Husain juga mengisytiharkan bekas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim dicalonkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil parlimen itu yang diadakan serentak dengan PRN 12 Ogos ini.
Sebelum majlis bermula, para hadirin menyertai program munajat di Masjid Rusila selepas solat Maghrib yang diikuti dengan taujihat pilihan raya yang disampaikan oleh Ketua Dewan Ulamak PAS negeri, Ustaz Ismail Osman.
Dewan Tok Guru dan pekarangan Masjid Rusila kelihatan padat dengan hadirin bagi mengikuti pengumuman calon. – HARAKAHDAILY 28/7/2023












