
PAS mengarahkan semua ahli dan seluruh jentera pilihan raya parti di semua peringkat terus bergerak dengan komitmen yang paling maksimum untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Negeri Ke-15 yang melibatkan enam negeri dan juga Pilihan Raya Kecil Parlimen Kuala Terengganu serentak pada 12 Ogos nanti.
Sehubungan dengan itu adalah diingatkan semua pemimpin dan ahli PAS dikehendaki taat dan patuh kepada segala arahan dan perintah parti terutama oleh Majlis Syura Ulamak, Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dan khususnya Jabatan Pilihan Raya PAS dalam tempoh pilihan raya ini.
Secara tegasnya sebarang tindakan yang menyalahi dan merugikan parti adalah suatu kesalahan tatatertib yang boleh diambil tindakan sehingga dipecat daripada parti.
Ini termasuklah sebarang tindakan seumpama menjadi calon atau menyokong calon selain daripada calon PERIKATAN NASIONAL.
Justeru, PAS mewajibkan semua ahli dan penyokong PAS agar keluar mengundi seawalnya pada hari mengundi kelak dan memberikan undi kepada PERIKATAN NASIONAL.
Selain itu, sebarang kenyataan media tidak boleh dibuat melainkan dengan kebenaran Presiden PAS bagi mengelakkan timbulnya suasana yang boleh merugikan perancangan khususnya dalam tempoh pilihan raya ini.
PAS yakin dengan perjuangannya yang berteraskan Islam serta hala tuju yang jelas demi kepentingan agama, bangsa dan negara yang digerakkan bersama gabungan PERIKATAN NASIONAL akan terus diberikan mandat untuk mara berkhidmat kepada negara dan rakyat jelata di peringkat negeri dan negara.
“Malaysia Sejahtera”
TAKIYUDDIN HASSAN
Setiausaha Agung PAS
Bertarikh: 27 Julai 2023/9 Muharram 1445 – HARAKAHDAILY 27/7/2023











