Tiga cedera ditikam dalam kereta api Jepun

Keadaan sesak dalam kereta api di Jepun. - Gambar fail.
- Advertisement -

TOKYO: Tiga orang cedera dalam serangan bersenjatakan pisau dalam kereta api di barat Jepun semalam dengan polis berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam kejadian itu.

Menurut Tetsuya Sakahami dari jabatan bomba berhampiran, mangsa ialah seorang konduktor kereta api berusia 20-an dan dua penumpang lelaki berusia 20-an dan 70-an, dibawa ke hospital dengan kecederaan yang tidak mengancam nyawa.

- Advertisement -

Polis tempatan memberitahu, suspek lelaki berusia 37 tahun memiliki tiga pisau ketika ditahan di stesen Bandar Rinku di wilayah Osaka.

Polis berkata, lelaki terbabit ditahan kerana cubaan membunuh dan telah mengaku melakukan serangan pada pagi Ahad, manakala motif perbuatannya masih disiasat.

Jenayah ganas jarang berlaku di Jepun yang mempunyai kadar pembunuhan yang rendah dan beberapa undang-undang senjata api paling ketat di dunia.

Namun, kadang-kadang berlaku kejadian menikam dan menembak, termasuk pembunuhan bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe tahun lepas.

Pada 2021, seorang lelaki berusia 24 tahun didakwa menikam seorang penumpang dan memulakan kebakaran di kereta api di Tokyo pada Halloween dengan berpakaian menyerupai penjahat komik, Joker.

Keputusan kes itu akan dijatuhkan pada 31 Julai ini. – AFP

- Advertisement -