Bagaimana boleh lulus konsert langgar tatasusila?

Ahmad Dullah
- Advertisement -

LAHAD DATU: PAS Sabah mengutuk tindakan biadab artis berkumpulan dari luar negara, The 1975 dalam konsert yang berlangsung di pentas Good Vibes 2023 di Litar Antarabangsa Sepang, kelmarin.

- Advertisement -

Menurut Ketua Penerangan PAS Sabah, Ahmad Dullah, penganjur perlu mengambil tanggungjawab sepenuhnya di atas tindakan melampau penyanyi luar negara itu.

“Bagaimana kerajaan madani boleh meluluskan konsert yang melanggar adat budaya tatasusila masyarakat Malaysia?

“Konsert seperti ini akan undang bala Allah malahan semua orang sama ada yang beriman atau tidak turut akan terkena kesannya,” katanya kepada Harakahdaily.

Ahmad turut menegaskan, kerajaan perlu mengharamkan kumpulan itu daripada datang ke Malaysia pada masa akan datang.

“Kenapa kerajaan madani tidak mengambil pengajaran daripada sejarah, kumpulan ini telah banyak melakukan kontroversi semasa mereka membuat persembahan sebelum ini.

“Ini menunjukkan kerajaan madani membuat kerja separuh masak dan tidak bersungguh-sungguh,” katanya lagi.

Ketika konsert itu berlangsung Jumaat lalu, vokalis kumpulan itu memegang botol arak di atas pentas ketika melakukan persembahan, selain meludah dan melakukan aksi kurang sopan.

Malah, vokalis itu juga membuat ucapan menghina undang-undang negara ini berkaitan isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) sebelum mencium rakan sama sejenis di pentas. – HARAKAHDAILY 24/7/2023

- Advertisement -