MB usaha tangani isu kuari diluluskan kerajaan dahulu

- Advertisement -

BALING: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memberitahu, aktiviti kuari di daerah ini yang mendapat bantahan penduduk setempat itu sebenarnya telah diluluskan di bawah kerajaan terdahulu.

Untuk itu, beliau perlu meneliti dokumen terdahulu secara terperinci terlebih kerana perlu mengetahui pertimbangan telah dilakukan di masa itu serta memanggil para pemegang taruh yang terbabit.

Beliau sedar, isu tersebut akan digunakan pihak tertentu untuk menghasut penduduk, namun berharap mereka bersabar sehingga beliau dapat mengambil tindakan yang sepatutnya bagi menangani keadaan itu.

“Orang-orang yang ada kepentingan di atas itu, pengusaha, orang itu dah permohonan dia, EIA (Kajian Impak Alam Sekitar) dia habis berapa dah. Semua proses itu berlaku. Kena di detail kan. Tak apa sat sabar. 

“Implikasi kerajaan kena bayar ganti rugi. Duit tak masuk lagi, (tapi) kena bayar ganti rugi (jika batalkan). Kita tangguh, jangan buat lagi. Kita nak boleh tangguh lama mana? (Itu)kena bincang, kena runding, kena proses lain.

“Kalau tak boleh buat tang tu, kena gi cari ganti. Tang mana ada ganti yang sepadan dengan tempat yang diluluskan itu sesuai. Seboleh-bolehnya saya nak suruh pergi cari ganti,” ujarnya.

Beliau mengimbas pengalaman mengurus perkara sama yang terjadi di Singkir, Yan semasa Almarhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak sebagai Menteri Besar tahun 2008, sedangkan kuari itu diluluskan sekitar tahun 2006 atau 2007.

Akui beliau, ia mudah diluluskan, tetapi sukar dibatalkan di mana mengikat kerajaan dan Syarikat yang telah berbelanja untuk mengadakan pelbagai kajian, pengeluaran modal dan jentera serta pinjaman bank untuk melakukan operasi.

“Dia (syarikat itu) buat unjuran dah tahun yang ke berapa, dia akan berhenti. Dia akan dapat balik modal yang dia tanam dalam usaha kuari itu dan keuntungan yang akan dia dapat. Dia hutang bank. 

“Bila kita nak keluarkan notis pembatalan, dia gi mahkamah. Kira ke semua itu kerajaan kena bayar kat dia RM40 juta. Masa lulus sekupang tak kena. Dulu paper masuk Mesyuarat Exco bincang, bincang, bincang (diberi) lulus, sekupang tak kena. 

“Tapi bila nak batal, dia terikat dengan semua proses itu, RM40 juta. Akhirnya kuari itu tak jadi batal. Bila tak jadi batal, kerajaan ambil langkah-langkah mitigasi bincang dengan penguasa kuari. Lagu mana operasi tapi tidak beri kesan kepada penduduk sekitar,” jelasnya. – HARAKAHDAILY 23/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -