Takziah buat keluarga Allahyarham Salahuddin

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin mengucapkan takziah kepada keluarga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub yang kembali ke rahmatullah sebentar tadi.

- Advertisement -

“Saya merasa dukacita mendengar perkhabaran ini dan berdoa semoga seluruh ahli keluarga Allahyarham dapat bersabar dan tabah melalui detik mendukacitakan ini.

“Sama-samalah kita berdoa agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh,” ujar Pengerusi PERIKATAN NASIONAL itu menerusi laman Facebook beliau, malam ini.

Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang juga mengucapkan takziah kepada seluruh ahli keluarga almarhum.

“Semoga Allah mengampunkan segala dosanya dan mencucuri rahmat ke atasnya,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, malam ini.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, parti itu mengucapkan takziah buat seluruh ahli keluarga allahyarham.

Menurutnya, jasa dan perjuangan allahyarham ketika bersama PAS tidak pernah dilupakan.

“Semoga ahli keluarga Allahyarham tabah menghadapi pemergian ini dan dipermudahkan
segala urusan berkaitan.
“Ya Allah, ampunilah dosanya, berilah rahmatMu ke atasnya, sejahtera dan maafkanlah
dia,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Salahuddin yang juga Ahli Parlimen Pulai menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar pada jam 9.23 malam ini. – HARAKAHDAILY 23/7/2023

- Advertisement -