
KANGAR: Langkah kerajaan negeri untuk tidak menyambung lesen premis judi di Perlis merupakan suatu penghijrahan yang besar.
Menteri Besar Mohd Shukri Ramli berkata, langkah tersebut dilaksanakan kerana aktiviti judi boleh membawa kerosakan kepada diri, keluarga dan kehidupan masyarakat.
“Insya-Allah selepas Mac tahun hadapan, tiada lagi premis judi yang akan diperbaharui di Perlis.
“Islam mengangkat darjat kemuliaan bagi manusia yang dahulunya mensyirikkan Allah SWT, dan ia juga menyelamatkan manusia daripada segala bentuk kejahatan atau penganiayaan,” katanya pada Majlis Maal Hijrah Peringkat Negeri di Sekolah Menengah Sains Tuanku Syed Putra di sini, semalam.
Sebelum ini kerajaan PERIKATAN NASIONAL (PN) Perlis mengumumkan tidak akan memperbaharui lagi lessen premis perjudian di negeri itu menjejaki langkah kerajaan Kedah, Terengganu dan Kelantan.
Mohd Shukri berkata, usaha demikian diharap mendapat keberkatan Allah SWT dan turut memberikan kurniaan rezeki untuk dinikmati seluruh rakyat berbilang kaum dan agama.
Menurutnya Islam bukan sahaja memberi rahmat kepada umatnya, namun turut membawa keadilan dan kebaikan kepada masyarakat pelbagai agama dan budaya.
“Konsep perpaduan sebenar diterapkan oleh baginda Nabi Muhammad SAW kepada penduduk Madinah yang terdiri daripada Islam dan bukan muslim.
“Inilah yang dinamakan Islam agama rahmat untuk sekalian alam,” katanya.
Majlis berkenaan disempurnakan Pemangku Raja Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Tambah Menteri Besar lagi, hijrah bukan sekadar difahami dalam erti kata berpindah secara fizikal semata-mata, namun ia perlu melibatkan penghijrahan spiritual atau rohani.
“Konsep hijrah juga adalah merupakan suatu proses perjalanan hidup untuk mencari keredaan Allah SWT,” katanya. – HARAKAHDAILY 21/7/2023




















