
SIK: Mantan Menteri Dalam Negeri Dato’ Seri Hamzah Zainudin menyifatkan penahanan Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor pada jam 3 pagi tidak bertamadun dan bertentangan konsep Malaysia Madani.
Katanya, Menteri Besar Kedah itu tidak mengganggu institusi diraja sebaliknya yang disentuhnya cuma Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri (KDN) dan Menteri Ekonomi.
“Pi tangkap tiga pagi, tamadun apa macam tu. Tak boleh beritahu ka nak jumpa. Saya ni bekas Menteri KDN tapi saya baik.
“Jangan dok main, lawan tetap lawan. Itu lah perjuangan kita yang adil,” katanya yang juga Setiausaha Agung PERIKATAN NASIONAL (PN) pada pada Taujihad Pimpinan sempena Majlis Munajat di Dewan Al-Hana, Sik malam tadi.
Hamzah yang juga Ketua Pembangkang berkata dasar PN jelas dan akan terus memelihara dan mempertahankan institusi diraja.
Beliau turut mendedahkan Setiausaha Agung PKR Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail pernah mendesak dibatalkan keputusan pemilihan PKR pada 2022 selepas tewas kepada Rafizi Ramli.
Katanya pemimpin terbabit berjumpa dengannya pada ketika itu sebagai Menteri KDN, selepas seminggu kalah dalam saingan merebut jawatan nombor dua parti terbabit.
“Jadi kamu jangan lupalah, selepas seminggu kamu kalah, kamu jumpa saya hantar surat minta tolong batalkan pemilihan PKR. Surat ada pada saya,” katanya sambil menunjukkan surat berkenaan kepada hadirin.
Pada pemilihan PKR 2022 Saifudin tewas kepada Rafizi bagi jawatan Timbalan Presiden. – HARAKAHDAILY 21/7/2023











