
KOTA BHARU: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang) menyifatkan Kerajaan Madani tidak mempunyai perancangan untuk memperkasakan konsep pembahagian kuasa.
Dato’ Zaid Ibrahim berkata, kerajaan sekarang dilihat tidak mengasingkan
institusi pemerintah, perundangan dan kehakiman.
“Bukan sahaja tak ada perubahan, tetapi nampak Kerajaan Madani semakin teruk dah, mungkin sudah sampai masa Umno kaji semula sokongan terhadapnya.
“Kita ingat madani satu tamadun, reform. Sebaliknya nak buat undang-undang sendiri untuk salahkan orang itu dan orang ini, tanpa melalui penentuan mahkamah,” katanya pada kenyataan melalui rakaman video di media sosialnya.
Sebelum ini Menteri Undang-Undang dan Reformasi Institusi, Dato’ Seri Azalina Othman Said dilapor berkata, kerajaan sedang mengkaji untuk mewujudkan akta baharu bagi menghukum pihak yang mempermainkan isu 3R daripada aspek sivil.
Menurutnya buat masa ini, sebarang kesalahan melibatkan isu 3R disiasat di bawah Akta Hasutan 1848, sedangkan akta itu lebih menjurus kepada elemen kesalahan jenayah.
Zaid yang juga seorang peguam berkata, cadangan menteri terbabit seperti tidak masuk akal.
“Sebarang keputusan mengenai dakwaan tersebut perlu diputuskan melalui mahkamah sebagai badan bertanggungjawab.
“Malah pengamal undang-undang sebelum ini menyatakan kebimbangan terhadap cadangan tersebut agar satu tindakan baharu dapat diambil kepada pihak membuat kenyataan menyentuh isu 3R,” ujarnya.
Kata beliau ramai peguam menyifatkan cadangan itu sebagai kurang sempurna kerana ia bercanggah dengan fungsi serta peranan mahkamah yang mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan kesalahan mengenainya. – HARAKAHDAILY 18/7/2023




















