
KUALA PILAH: Politik Melayu-Islam yang menyatukan PAS dan Umno melalui Muafakat Nasional (MN) sebelum ini ditunggu sekian lama rakyat di negara ini.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, usaha untuk menyatukan parti Melayu menjadi lebih mudah selepas Umno dan Barisan Nasional (BN) kalah pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.
Katanya PAS banyak beralah kepada Umno demi memastikan penubuhan MN benar-benar menjadi kenyataan.
“Selepas Umno dan BN hilang kuasa politik kita melihat perlu kepada kekuatan undi teras dalam kalangan rakyat mesti diusahakan.
“Hasil jalinan kerjasama melalui MN, PAS membantu BN di hampir 10 Pilihan Raya Kecil (PRK) dengan menghantar jentera kempen.
“Kemuncaknya PRK Parlimen di Cameron Highlands. PAS buat keputusan tak bertanding dan memberi laluan kepada BN. Bukan mudah tuan-tuan.
“Saya turut bantu kempen di Cameron Highlands. Bukan mudah nak minta orang PAS sokong Umno dan sokong BN,” katanya ketika melancarkan Jentera Pilihan Raya Dun Kuala Pilah, di sini, malam tadi. (Foto atas)
Turut hadir Pengerusi Muafakat Nasional Malaysia Tan Sri Annuar Musa, Pengerusi PN negeri, Dato’ Seri Faizal Azumu, Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Rafiei Mustapha dan ADUN PN Sungai Udang, Dr Mohd Aleef Yusof.
Bagaimanapun Tuan Ibrahim berkata, selepas Umno bertambah kuat dan berada dalam kerajaan Pusat mereka mula ‘naik tocang’ melakukan agenda menggugat kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya juga Umno diharap tidak menjadi seperti Amanah yang merupakan pecahan PAS yang kini menjadi pihak yang paling kuat membela DAP.
“DAP berjaya memecahkan PAS bila mana sekumpulan pemimpin PAS keluar parti mewujudkan Amanah bagi menyerang PAS dan mempertahankan DAP.
“Hari ini kalau kita kritik DAP, yang jawabnya bukan DAP, sebaliknya pemimpin Amanah. Saya ingatkan Umno cukup-cukuplah jangan jadi pembela bagi membantu kekuatan PH di Negeri Sembilan,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/7/2023




















