
SEREMBAN: Gabungan PH-BN di Negeri Sembilan sudah mulai kelihatan retak menanti belah menjelang hari penamaan calon pada 29 Julai ini.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan Kamarol Ridzuan Mohd Zain berkata, sebelum tiba hari mengundi mereka sudah berebut kerusi Menteri Besar (MB) sesama sendiri.
Katanya, perpaduan yang dimomokkan sebelum ini hanya sebagai sandiwara untuk menutup perbalahan yang tersembunyi antara mereka.
“Rakyat sudah penat dengan drama perbalahan kerusi nombor satu negeri seperti yang berlaku di Perak, Melaka dan Johor sebelum ini,” katanya pada kenyataan di laman Facebook PAS Negeri Sembilan.
Media sebelum ini melaporkan isu perebutan jawatan MB di Negeri Sembilan semakin panas sekarang. Kedua-dua parti terbabit juga bertembung di kerusi Dun tertentu.
Kamarol Ridzuan juga berkata, PH dan BN Negeri Sembilan bertembung sesama sendiri untuk mendominasi kerusi di kerusi Dun tertentu termasuk Lenggeng.
“BN dikatakan sedang mencuba untuk menambahkan dua lagi kerusi dan menjadikan jumlah keseluruhan 18 kerusi. Ia mesej jelas BN mahu jawatan MB.
“Sebagai solusi usah beri ruang PH-BN memanjangkan drama ini di Wisma Negeri. Memadai hantar mereka ke kerusi pembangkang di Dun Negeri atau tutup terus pintu kepada PH-BN di semua 36 kerusi Dun,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 16/7/2023











