
KOTA BHARU: Polis akan memastikan keselamatan membabitkan enam negeri termasuk Kelantan berjalan lancar dalam tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) berlangsung.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, seramai 9,600 pegawai dan anggota akan dihantar ke enam negeri terlibat untuk memastikan kelancaran sepanjang proses PRN.
Menurutnya, kesemua anggota terlibat diselaras Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) berdasarkan permohonan yang dibuat negeri terbabit.
“Setiap negeri terlibat meminta bantuan tambahan anggota demi memastikan proses penamaan calon, berkempen dan hari mengundi berjalan dengan lancar di negeri terlibat PRN.
“Kekuatan anggota kita masih mencukupi,” katanya pada sidang media selepas taklimat berhubung Pilihan Raya Negeri (PRN) di Kontinjen Polis Kelantan di sini, hari ini.
Beliau juga berkata, operasi kawalan sempadan akan berjalan seperti biasa.
“Saya juga mengingatkan semua pengundi tidak perlu risau dan bimbang untuk keluar mengundi.
“Untuk Kelantan kita menambah anggota untuk bertugas semasa PRN berdasar jumlah diminta memandangkan Kelantan antara negeri yang berada di sempadan dengan Thailand,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/7/2023











