
KOTA BHARU: Seramai 90 pelajar Yayasan Islam Kelantan (YIK) memperolehi 10 mumtaz dalam semua mata pelajaran peperiksaan Sijil Menengah Ugama (SMU), SMU (DINI) dan Sijil Menengah Tahfiz Al-Quran (SMTQ) tahun 2022.
Bagaimanapun tiada calon memperolehi lapan mumtaz bagi peperiksaan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP) 2022.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri Azhar Salleh berkata, seramai 5,808 pelajar menduduki peperiksaan SMU tahun lepas.
Katanya, sebanyak 94.19 peratus daripada jumlah keseluruhan calon 6,166 calon lulus sekurang-kurangnya pangkat maqbul kesemua 10 mata pelajaran.
“Keputusan itu menunjukkan peningkatan sebanyak 1.75 peratus. Pencapaian kecemerlangan pangkat mumtaz seramai 934 calon berbanding 1,437 calon pada 2021.
“Pangkat jayyid jiddan seramai 1,623 calon berbanding 1,671 calon tahun 2021. Manakala pangkat jayyid seramai 1,695 calon berbanding 1,859 tahun sebelumnya.
“Dan Maqbul seramai 1,556 calon,” katanya pada sidang media ketika mengumumkan keputusan SMU di Pejabat YIK hari ini.
Keputusan Peperiksaan SMU, SMTQ, SMU (DINI) dan STUP 2022 disampaikan Azhar kepada pengetua pengetua sekolah YIK dari seluruh Kelantan.
Azhar juga berkata, berdasarkan Gred Purata Sekolah (GPS) 1.19 Maahad Tahfiz Darul Saadah Lilbanat menduduki tempat pertama kategori Maahad Kawalan.
Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah (1.28) menduduki tempat kedua serta Maahad Sains Tok Guru 1.30 tempat ketiga.
Maahad Muhammadi Pasir Pekan pula menduduki tempat pertama kategori Maahad Pilihan (GPS 1.84) dengan kelulusan 100 peratus.
Tempat kedua Maahad Ar Rahmah Kenali (2.38) dengan keputusan 100 peratus dan ketiga Maahad Saniah Pasir Puteh (2.47) juga 100 peratus lulus.
Bagi kategori Maahad Kerajaan, kedudukan terbaik disandang Maahad Syamsul Maarif Pulai Chondong, diikuti Maahad Syamsul Maarif Lelaki Labok dan ketiga Maahad Al Sabirin Ayer Lanas.
Bagi kategori Sekolah Menengah Ugama (SMU) (Arab) Tarbiah Diniah Tahfiz Bunut Sarang Burung di tempat pertama, kedua SMU (A) Tarbiah Diniah Tok Uban dan ketiga SMU (A) Ittihadiah Tanjung Pagar.
Sementara itu Muhammad Hilmi Zulkifli dari Maahad Sains Tok Guru Pengkalan Chepa dinobatkan sebagai pelajar terbaik peperiksaan SMU dan Izzah Eimani Noor Hisham dari Maahad Muhammadi Perempuan tempat kedua bagi kategori Maahad Kawalan.
Pelajar terbaik kategori Maahad Pilihan disandang Marwan Anaqi Izdihar Mazwan dari Maahad Saniah Pasir Puteh.
Tempat kedua kategori berkenaan disandang Wan Nur Munirah Nik Mohamed dari Maahad Muhammadi Pasir Pekan.
Azhar juga berkata, ibu bapa memainkan peranan penting untuk kecemerlangan anak-anak mereka. – HARAKAHDAILY 12/7/2023











