
KAHERAH: Mahkamah di timur Libya menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup terhadap lima orang yang disabitkan kesalahan kerana kegiatan pemerdagangan manusia yang menyebabkan kematian 11 pendatang ketika menaiki bot menyeberangi Laut Mediterranean ke Eropah.
Mahkamah di bandar Bayda turut menjatuhkan hukuman penjara 15 tahun setiap seorang kepada sembilan defendan lain, manakala 24 lagi dipenjarakan selama setahun.
Jurucakap Pejabat Pendakwa Raya, al-Sediq al-Sourr, berkata semua defendan adalah sebahagian daripada rangkaian penyeludupan migran dari Libya ke Eropah. Namun, tidak dinyatakan bila kejadian bot karam maut itu berlaku.
Keputusan mahkamah itu adalah yang terbaharu di negara Afrika Utara yang dilanda konflik bagi menangani kegiatan pemerdagangan manusia.
Jumaat lalu, Pejabat Ketua Pendakwa Raya berkata mahkamah lain di ibu negara, Tripoli, menjatuhkan hukuman penjara seumur hidup kepada seorang defendan, manakala dua lagi masing-masing dipenjara 20 tahun kerana pemerdagangan manusia.
Sejak beberapa tahun lalu, Libya menjadi lokasi transit utama bagi pendatang Timur Tengah dan Afrika yang melarikan diri dari konflik dan kemiskinan untuk mencari kehidupan yang lebih baik di Eropah. Negara kaya minyak itu menjadi huru-hara berikutan pemberontakan yang disokong NATO pada 2011 yang menggulingkan dan membunuh pemimpin yang lama berkuasa, Moammar Gadhafi.
Dalang pemerdagangan manusia mengambil kesempatan ketidakstabilan di Libya, menyeludup pendatang merentasi sempadan dari enam negara, termasuk Mesir, Algeria dan Sudan. Mereka kemudian menyumbat pendatang yang terdesak ke dalam bot untuk pelayaran berisiko merentasi Laut Mediterranean.
Selama bertahun-tahun, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan kumpulan hak asasi manusia mengecam keadaan tidak berperikemanusiaan yang pendatang hadapi.
Mac lalu, pakar hak asasi manusia yang disokong PBB berkata, terdapat bukti bahawa jenayah terhadap kemanusiaan dilakukan terhadap rakyat Libya dan pendatang di Libya, termasuk wanita yang dipaksa menjadi hamba seksual. – AP











