
KANGAR: Perlis berupaya menjadi antara lokasi bagi peminat sukan ekstrem untuk dikunjungi.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Pelancongan, Kebajikan dan Bantuan Bencana, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan negeri, Wan Badariah Wan Saad berkata, sukan ekstrem wajar dikembangkan lagi bagi memberi peluang kepada orang ramai mengembangkan bakat mereka.
Semalam, beliau dikunjungi Presiden Kelab Hermission House Extreme Sports (HHESC), Nur Iman Yazin Affar dan atlet paragliding negara, Sharifah Nadiah Wafa Syed Mohd Thalal Wafa, di pejabatnya.
Katanya, kelab itu adalah kelab sukan ekstrem berdaftar di bawah Pesuruhjaya Sukan Kementerian Belia dan Sukan Malaysia dan diterajui oleh sekumpulan atlet sukan ekstrem di mana Sharifah Farah Adriana Jamalullail selaku penaung.
“HHESC mempromosikan sukan ekstrem kepada orang ramai dan bertujuan memberi peluang kepada orang ramai untuk meneroka dan mengembangkan bakat dalam bidang sukan ekstrem.
“Kelab ini diterajui dengan misi Pemerkasaan Melalui Sukan: Sukan Ekstrem untuk semua,” katanya lagi.
Menurutnya, antara lokasi menarik untuk aktiviti sukan tersebut ialah Tasik Timah Tasoh, Gua Kelam dan Bukit Keteri. – HARAKAHDAILY 11/7/2023











