
PARIS: Rusuhan yang tercetus selepas polis membunuh seorang remaja menyebabkan Perancis mengharamkan penjualan, pemilikan dan pengangkutan bunga api pada hujung minggu cuti kebangsaan 14 Julai ini.
Bunga api dijadikan sebagai antara senjata pilihan semasa kekacauan di Perancis selepas seorang pegawai polis menembak mati seorang remaja berusia 17 tahun pada 27 Jun lalu berhampiran bandar raya ini, membangkitkan kekecewaan yang lama terpendam dan tuduhan perkauman sistemik dalam kalangan pasukan keselamatan Perancis.
Menurut satu dekri kerajaan yang diterbitkan dalam jurnal rasmi: “Untuk mengelakkan risiko gangguan serius terhadap ketenteraman awam semasa perayaan 14 Julai – penjualan, pemilikan, pengangkutan dan penggunaan bunga api diharamkan sehingga 15 Julai secara inklusif.”
Namun menurut dekri itu, larangan itu tidak meliputi golongan profesional atau majlis perbandaran yang menganjurkan bunga api tradisional untuk sambutan Hari Bastille.
Bimbang kemungkinan kebangkitan semula rusuhan, Perdana Menteri. Elisabeth Borne memberitahu akhbar harian Le Parisien bahawa kerajaan akan menggunakan “cara besar-besaran untuk melindungi Perancis” semasa cuti kebangsaan.
Pertunjukan bunga api adalah ciri tahunan perayaan Hari Bastille. Namun, bunga api sering digunakan semasa protes di negara ini.
Pembunuhan Nahel M, remaja keuturunan Algeria oleh anggota polis di pinggir bandar Nanterre, mencetuskan keganasan bandar terburuk di Perancis sejak 2005.
Lebih 3,700 orang ditahan polis berikutan protes sejak kematian Nahel, termasuk sekurang-kurangnya 1,160 kanak-kanak bawah umur, menurut angka rasmi. – AFP











