
MADRID: Sekurang-kurangnya 300 orang yang menaiki tiga bot pendatang dari Senegal dikhuatiri hilang berhampiran Kepulauan Canary, Sepanyol.
Helena Maleno dari kumpulan bantuan pendatang, Walking Borders, berkata dua bot yang masing-masing membawa antara 50 hingga 65 orang, hilang selepas 15 hari meninggalkan Senegal untuk cuba sampai ke Sepanyol.
Bot ketiga meninggalkan Senegal pada 27 Jun lalu dengan kira-kira 200 orang.
Helena berkata, keluarga mereka yang berada dalam bot tidak mendengar khabar daripada mereka sejak meninggalkan Senegal.
Ketiga-tiga bot terbabit meninggalkan Kafountine di selatan Senegal, kira-kira 1,700 kilometer dari Tenerife, iaitu antara pulau dalam Kepulauan Canary.
“Keluarga sangat bimbang. Terdapat kira-kira 300 orang dari kawasan yang sama di Senegal. Mereka pergi kerana ketidakstabilan di Senegal,” kata Helena.
Kepulauan Canary di luar pantai Afrika Barat menjadi destinasi utama pendatang yang cuba sampai ke Sepanyol. Mereka dengan jumlah yang lebih kecil berusaha untuk menyeberangi Laut Mediterranean ke tanah besar Sepanyol.
Menurut data Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi PBB, laluan migrasi Atlantik adalah antara antara paling banyak meragut nyawa di dunia, biasanya digunakan oleh pendatang dari sub-Sahara Afrika. Sekurang-kurangnya 559 orang, termasuk 22 kanak-kanak meninggal dunia pada 2022 dalam percubaan untuk sampai ke Kepulauan Canary. – REUTERS











