Hun Sen gesa Ukraine tidak guna bom berangkai

Amerika Syarikat bakal membekalkan bom berangkai kepada Ukraine.
- Advertisement -

PHNOM PENH: Perdana Menteri Kemboja, Hun Sen, yang negaranya masih bergelut dengan saki baki perang yang membawa maut, menggesa Ukraine supaya tidak menggunakan bom berangkai, selepas Washington mengumumkan rancangan untuk menghantar senjata itu ke Kyiv untuk memerangi tentera Rusia.

Kumpulan kemanusiaan mengutuk sekeras-kerasnya keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk membekalkan peluru berangkai yang juga boleh tidak meletup dan berpotensi membahayakan orang awam bertahun-tahun kemudian.

- Advertisement -

“Senjata itu akan mengancam kehidupan rakyat Ukraine selama bertahun-tahun atau sehingga seratus tahun jika bom berangkai digunakan di kawasan yang diduduki Rusia di wilayah Ukraine,” tweet Hun Sen.

Beliau menceritakan pengalaman menyakitkan Kemboja berikutan peluru berangkai AS yang digugurkan pada awal 1970-an, warisan asing yang menyebabkan berpuluh-puluh ribu orang cacat atau terbunuh.

“Sudah lebih setengah abad. Belum ada cara untuk memusnahkan semua senjata itu,” kata Hun Sen.

“Sebagai rasa kasihan kepada rakyat Ukraine, saya merayu Presiden AS sebagai pembekal dan Presiden Ukraine sebagai penerima agar tidak menggunakan bom berangkai dalam peperangan kerana mangsa sebenar adalah warga Ukraine,” katanya.

Washington menyatakan menerima jaminan Kyiv yang akan berusaha untuk meminimumkan risiko kepada orang awam, dengan Presiden AS, Joe Biden mengakui bahawa membekalkan Ukraine dengan senjata itu adalah keputusan yang sukar.

AS menggugurkan berjuta-juta bom di Kemboja dan Laos semasa Perang Vietnam pada 1960-an dan 1970-an dalam usaha memusnahkan pangkalan komunis.

Namun, selepas 30 tahun perang saudara yang berakhir pada tahun 1998, Kemboja adalah antara negara yang paling banyak mempunyai periuk api di dunia.

Kesan kempen pengeboman AS dan medan periuk api yang ditinggalkan akibat konflik telah lama dirasai, kira-kira 20,000 rakyat Kemboja terbunuh sejak empat dekad lalu selepas terpijak periuk api atau senjata api lain yang tidak meletup.

Kerja pembersihan diteruskan sehingga hari ini, dengan kerajaan berikrar untuk membersihkan semua periuk api dan senjata yang tidak meletup menjelang 2025.

Pada Januari lalu, sekumpulan anggota pemusnah periuk api Ukraine melawat kawasan periuk api Kemboja untuk belajar daripada pengalaman pahit berdekad-dekad. – AFP

- Advertisement -