
KOTA BHARU: Kerajaan Madani diminta tidak berterusan menyalahkan pihak lain di atas kelemahan pentadbiran negara sekarang sehingga rakyat terbeban dengan peningkatan kos sara hidup.
Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim tidak perlu menyalahkan pihak lain kerana beliau boleh bertindak dengan kuasa politik yang dimiliki.
Katanya, jangan asyik menuduh individu tertentu menjadi dalang penyelewengan serta salah guna kuasa.
Sedangkan kata beliau kenyataan itu secara tidak sedar menjejaskan kepercayaan masyarakat antarabangsa kepada Malaysia.
“Rakyat tidak mahu kerajaan hanya pandai menyalahkan pihak lain, sebaliknya meneruskan agenda membangun negara dan menjamin kesejahteraan hidup rakyat,” katanya pada Diskusi 45 minit mengenai ‘PRN Enam Negeri Referendum Rakyat yang disiarkan secara langsung melalui Kelantan TV malam tadi.
Pada Januari lepas Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim dilapor mendedahkan terdapat banyak kecurangan di Kementerian Kewangan (MOF) ketika menyemak fail-fail di kementerian terbabit.
Tuan Ibrahim yang juga ahli Parlimen Kubang Kerian berkata, sejak 2018 rakyat berdepan dengan tiga pertukaran pucuk pimpinan negara, namun kerajaan ketika itu tidak menunding jari kepada pihak lain.
“Perdana Menteri sekarang kata sakau sana sakau sini. Sedangkan awak ada kuasa, kalau ada bukti, ada data ada maklumat penyeleweng dakwa di mahkamah.
“Rakyat sekarang bukan hendak dengar cakap itu, cakap ini, namun tiada tindakan dibuat. Yang besar lagi ke mana hala tuju ekonomi negara hendak bawa.
“Rilai Ringgit semakin jatuh, pelabur lari, kos sara hidup semakin meningkat. Ke mana hala tuju kerajaan kita sekarang,” ujarnya.
Oleh itu kata beliau berdasar perkembangan yang berlaku sekarang tidak dapat dinafikan kemungkinan kerajaan akan bertukar lagi selepas ini. – HARAKAHDAILY 6/7/2023











