
KOTA BHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dipercayai mengambil kira semua aspek sebelum membuat keputusan mengumum tarikh hari pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) membabitkan enam negeri.
Naib Presiden PAS, Dato’ Mohd Amar Abdullah berkata, keputusan itu dianggap bijak kerana tarikh mengundi bukan pada hari bekerja.
Begitu juga tarikh hari penamaan calon dibuat pada cuti hujung minggu.
“Sedangkan sebelum ini kami bimbang hari penamaan calon dan pengundian jatuh pada hari bekerja.
“Sekiranya hari mengundi jatuh pada tengah minggu, ia akan menyukarkan pengundi untuk balik ke kampung bagi menunaikan tanggungjawab mengundi.
“Alhamdulillah akhirnya terjawab teka-teki itu,” katanya yang juga Timbalan Menteri Besar Kelantan selepas menghadiri Majlis Graduasi SPM dan STAM di Maahad Muhammadi Perempuan di sini hari ini. (Foto atas)
Semalam SPR mengumumkan tarikh pengundian PRN di enam negeri iaitu 8 Ogos dan penamaan calon 29 Julai ini iaitu hari Sabtu. Manakala pengundian awal pada 8 Ogos (Selasa).
Mohd Amar berkata, semua persoalan berhubung tarikh penamaan calon dan hari pengundian sudah selesai.
Sehubungan itu beliau merakam ucapan terima kasih kepada SPR atas keputusan yang dianggap bijak itu.
Menurutnya juga kempen pilihan raya akan dipertingkatkan lagi selepas penamaan calon nanti. – HARAKAHDAILY 6/7/2023











