
ALOR SETAR: Dakwaan kononnya Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor memboikot Pilihan Raya Negeri (PRN) adalah propaganda karut pihak lawan.
Setiausaha Politik (Setpol) Menteri Besar, Mohamad Hilmi Abdul Wahab berkata, perkara itu hanya propaganda musuh politik yang dengki terhadap kecemerlangan Kedah sejak tiga tahun diteraju Sanusi.
“Dakwaan itu propaganda karut oleh seteru yang ketandusan isu menjelang PRN tidak lama lagi,” kata di sini.
Semalam tular di media sosial poster kononnya Menteri Besar Kedah akan memboikot PRN sebagai bantahan campur tangan dalaman membabitkan Dato’ Seri Mukhriz Mahathir.
Hilmi berkata, dakwaan itu bukan sahaja karut tetapi tidak logik kerana parti Pejuang pimpinan Mukhriz bukan komponen PERIKATAN NASIONAL (PN).
Malah sebelum ini Mukhriz pernah menafikan khabar angin mengatakan beliau bakal dinobatkan sebagai Menteri Besar sekiranya PN kekal meneraju Kedah pada PRN kali ini.
“Nak buat perang saraf pun bagi lah logik sikit,” bidasnya.
Beliau turut menafikan Ketua Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat itu mengamuk dan meninggalkan mesyuarat parti seperti didakwa pihak terbabit.
Musuh politik juga ketandusan idea apabila menular poster palsu kononnya Yang Dipertua PAS Pendang, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman akan dilantik sebagai Menteri Besar sekiranya PN berjaya menerajui Kedah. – HARAKAHDAILY 5/7/2023











