Menteri jadi angkuh dengan kuasa jawatan dipegang

Tunjuk perangai di penghujung nyawa politik

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri-menteri Kerajaan Pusat diketuai Pakatan Harapan sedang menunjukkan perangai politik yang hanya akan mempercepatkan lagi tempoh masa untuk mereka jatuh dari kedudukan itu.

Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad berkata, sikap mereka itu terhadap kuasa dipegang, sama sekali bertentang dengan pengetahuan politik yang semakin tinggi dalam kalangan rakyat.

Beliau diminta mengulas tindak tanduk beberapa Menteri yang begitu mendapat perhatian massa ketika ini ekoran kontroversi ditimbulkan mereka di mana dilihat rakus memanipulasi kuasa dan jawatan.

Bidasnya, keangkuhan dan kesombongan ditunjukkan mereka itu sedang disaksikan ramai dan pasti akan dihakimi oleh rakyat di mana kini bukan lagi di zaman televisyen hitam putih.

“Umno dulu walaupun lama memerintah dan ada majoriti dua pertiga mencengkam kuasa, tapi kita tak tengok ada perangai macam ditunjukkan menteri-menteri itu. Kamu ada kuasa kamu rasa boleh buat apa saja? 

“Kamu kena ingat, Umno lebih 60 tahun berkuasa pun boleh jatuh, (inikan pula) kamu nyawa politik orang panggil ‘telur di hujung tanduk’. Kesepaduan dalam kalangan kamu pun tak ada,” tempelaknya.

Menteri Keselamatan Dalam Negeri, Senator Dato’ Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini tular berjanji mempermudahkan pemberian permit ceramah politik, sedangkan ia tugas pihak polis.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil juga dilihat semakin koyak apabila mengancam ugut para pengkritik beliau dan kerajaan campuran hari ini bahawa mereka akan didatangi kereta peronda polis ke rumah.

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pula memerintahkan Majlis Perbandaran Kota Bharu membatalkan kompaun kesalahan pakaian seorang pekerja bukan-Muslim di negeri itu.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Tiong King Sing dilapor menceroboh kawasan keselamatan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan menuduh penjawat awam meminta rasuah.

Ustaz Idris yang juga Ahli Parlimen Bagan Serai melihat perkara-perkara tersebut mempengaruhi ‘mood‘ rakyat ketika ini termasuk akan diterjemahkan dalam undi PRN enam negeri nanti. – HARAKAHDAILY 5/7/2023

- Advertisement -
- Advertisement -