
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Ogos (Sabtu) ini sebagai hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 diadakan serentak melibatkan enam negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
Sementara itu, tarikh penamaan calon ditetapkan pada 29 Julai (Sabtu), manakala tarikh pengundian awal adalah pada 8 Ogos (Selasa), serta tarikh keluar writ pada 5 Julai (Rabu).
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Ghani Salleh mengumumkan perkara itu dalam sidang media PRN DUN ke-15 selepas mempengerusikan mesyuarat khas di sini, hari ini.
Sehubungan itu, ujarnya, SPR telah memutuskan PRU DUN ke-15 perlu diadakan bagi mengisi kekosongan kerusi dewan yang termasuklah 36 kerusi Dewan Negeri Kedah, 45 kerusi Dewan Negeri Kelantan, 32 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu, 40 kerusi Dewan Undangan Pulau Pinang, 56 kerusi Dewan Negeri Selangor dan 40 kerusi Dewan Undangan Pulau Pinang.
“Tempoh berkempen ditetapkan 14 hari bermula selepas pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 29 Julai 2023 sehingga jam 11.59 malam, 11 Ogos 2023 (Jumaat),” katanya.
Tambah beliau, lebih 9.7 juta pengundi yang layak akan menjalankan tanggungjawab pada PRN di enam negeri berkenaan.
Beliau berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang akan digunakan untuk PRU DUN ke-15 adalah daftar pemilih terkini sehingga Daftar Pemilihan Tambahan Bulan April Tahun 2023 yang akan dikemaskini sehingga 21 Jun 2023.
“DPPR bagi PRU DUN ke-15 ini mengandungi seramai 9,773,571 orang pemilih yang terdiri daripada 9,674,456 orang pengundi biasa, 49,660 orang tentera serta pasangan masing-masing, 47,728 orang polis serta pasangan Polis Pasukan Gerakan Am (PGA) dan 1,727 orang Pengundi Tidak Hadir Luar Negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 5/7/2023
(laporan lanjut menyusul)











