Sumpah Presiden Umno bakal jadi senjata makan diri

- Advertisement -

KUALA KRAI: Sumpah yang pernah dilafaz Presiden Umno Dato Seri Ahmad Zahid Hamidi ‘No Anwar, No DAP’ akan menjadi senjata makan diri kepada parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

- Advertisement -

Ahli Parlimen Kuala Krai, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, sumpah itu dilafaz pada Perhimpunan Agung Umno sebelum ini.

Sedangkan katanya perbuatan sumpah bukan perkara main-main yang boleh disebut sesuka hati biarpun dalam keadaan terdesak.

“Pemimpin Umno dan Pakatan Harapan (PH) diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim bakal menerima padah berikutan bersubahat dengan pemimpin Umno yang telah melanggar sumpah.

“Begitu juga Anwar turut melaungkan lagu ‘hoi…hoi ya hoi’ sebagai simbolik menggelarkan Umno sebagai parti penyamun berikutan Presiden parti itu berhadapan 47 pertuduhan kes mahkamah termasuk 1MDB, kapal selam dan sebagainya.

“Kalau dalam Parlimen sebelum PRU15 lalu, wakil rakyat PH senada mengkritik 1MDB, isu kapal selam dan lain-lain skandal. Namun sekarang mereka bersubahat dengan pemimpin yang dipersenda sebelum ini,” katanya pada ceramah Jelajah Ppakat Pertahan dan Pelancaran Jentera PRN DUN Dabong, di sini malam tadi.

Turut hadir Ketua Penerangan PAS Kelantan, Dato Mohd Nassuruddin Daud dan Ketua Penerangan PAS Kuala Krai, Ku Mohd Zaki Ku Husin.

Abdul Latif yang juga Yang Dipertua PAS Kuala Krai berkata, apa yang berlaku hari ini di sebaliknya, di mana sumpah yang pernah dilaungkan pemimpin Umno tiba-tiba bertukar jadi ‘halal.

Katanya rakyat telah ditipu, selepas PRU lain pula yang berlaku sehingga sukar diterima penyokong Umno di peringkat akar umbi.

“Mereka dakwa kita juga pernah bekerjasama dengan Umno, itu betul tetapi kita tidak melantik pemimpin yang terbabit kes rasuah sehingga didakwa di mahkamah sebagai menteri.

“Sedangkan menteri dan timbalan menteri kerajaan PERIKATAN NASIONAL bersih ketika kita menjadi kerajaan.

“Betul kita juga bekerjasama dengan DAP, tetapi kita tidak membiarkan mereka menghina dan mempersendakan agama Islam sewenang-wenangnya,” ujarnya.

Menurutnya juga disebabkan begitu terdesak Perdana Menteri berusaha sedaya mungkin untuk mengambil hati pengundi muda dengan pelbagai kaedah dan aksi.

“Jumpa anak muda di IPT yang hanya melibatkan negeri-negeri bakal mengundi, Perdana Menteri juga menari di hadapan pelajar semata-mata nak mengambil hati anak muda.

“Ambo bimbang bukan undi yang makin banyak didapati, sebaliknya semakin berkurang kerana dimakan sumpah sendiri. Lagi pun anak muda semakin muak dengan janji kosong dan fitnah,” ujarnya.

Sementara itu sempena program berkenaan ikrar mempertahankan Dun Dabong disampaikan Ketua Pemuda PAS Dun berkenaan, Abdul Hanan Mohd Suhaimi. – HARAKAHDAILY 27/6/2023

- Advertisement -